4 Tahun Dengan JDT, Ternyata Tuah Akram Mahinan Di Kedah


ALOR SETAR - Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.

Begitulah yang dirasai pemain tengah Kedah, Akram Mahinan yang pulang ke negeri kelahirannya selepas empat tahun menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menurut Akram, ketika menyarung jersi kelab gergasi selatan itu, Akram tidak pernah merasai debaran perlawanan akhir Piala Malaysia.

Namun begitu, setelah pulang ke negeri Jelapang Padi, pemain kelahiran Kulim berkenaan telah mampu merasai dua perlawanan akhir iaitu saingan Piala FA (juara) dan kini Piala Malaysia.

Pada kali ini, Akram, 24, hampir melengkapkan koleksi peribadi kejuaraan di Liga Malaysia setelah pasukan Kedah turut memenangi Piala Sumbangsih awal musim lalu.

"Saya berterima kasih kepada bekas Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang bawa saya ke sini dan berjaya memenangi dua piala. Saya juga bertuah kerana kini dapat berguru dengan Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

"Sekarang saya perlu memenangi satu piala lagi bersama rakan-rakan. Walaupun baru semusim tetapi kejayaan ini cukup manis untuk saya.

"Matlamat saya dan rakan sekarang adalah untuk membawa pulang semula Piala Malaysia ke Alor Setar walaupun kami tahu perlawanan ini bukan mudah untuk dilalui," katanya yang dipetik dari Mstar Online.

Tambahnya lagi, dia akan terus menabur bakti buat skuad hijau kuning selagi khidmatnya diperlukan.- Kedahnews.com