48 Jam 1,500 Tempahan, Rakyat Malaysia Terbeban?


KHAMIS depan, Perodua secara rasminya akan melancarkan model baharu Myvi yang dijanjikan dengan pelbagai rekaan terkini dan ciri terbaharu lebih menarik.

Lima varian Myvi generasi ketiga itu bakal ditawarkan pada harga yang begitu kompetitif di pasaran tempatan, iaitu bermula dari serendah RM44,300 sehingga RM55,300.

Menariknya, kesemua varian ditawarkan dengan ciri standard seperti lampu depan LED, butang penghidup enjin, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Tarikan (TRC) dan Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Penawaran bijak ini sekali gus membuatkan Myvi edisi ketiga pasti antara pilihan kenderaan rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana berbanding model jenama lain untuk segmen sama.

Bahkan paling mengejutkan ramai, model kompak kegemaran rakyat Malaysia ini turut dikhabarkan laris apabila telah menerima 1,500 unit tempahan sejak ia dibuka pada 9 November lalu. Wow!

Menurut blog automotif terkenal, Paultan.org, ia merupakan rekod tempahan tertinggi yang pernah diterima oleh mana-mana model Perodua sebelum ini, malah lebih tinggi daripada jumlah tempahan model Bezza pada tahun lalu.


Biarpun keadaan sosio-ekonomi negara pada ketika ini dikatakan tidak begitu stabil, namun ia ternyata tidak menghalang kemahuan rakyat Malaysia untuk membelanjakan sejumlah wang bagi membeli kereta baharu.

Jadi secara congak mudah matematik, pada setiap jam kira-kira 31 unit Myvi baharu telah ditempah oleh bakal pembeli di seluruh Malaysia atau secara purata sebuah kereta dalam masa dua minit!

Jumlah itu baru memasuki hari kedua, bagaimana pula jumlah keseluruhan tempahan pada minggu ini? Tidak mustahil rasanya jika ia mencecah sehingga 6,000 unit.

Jadi di manakah desas-desus puak pembangkang yang mengatakan pelaksanaan beberapa dasar yang ditetapkan kerajaan hanya membeban dan menaikkan kos sara hidup rakyat Malaysia?

Memang tidak dinafikan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mahupun penetapan kaedah pengapungan harga minyak petrol sedikit sebanyak memberi impak kepada perbelanjaan harian rakyat.

Namun dua langkah yang ditetapkan ini sebenarnya merupakan tindakan bijak kerajaan untuk mengurangkan defisit negara, sekali gus mengelakkan Malaysia daripada terjerumus kemelesetan ekonomi lebih teruk.

Apa yang pasti jika benar rakyat dibebani, sudah pastinya jualan model Myvi serba baharu ini tidak ‘semeriah’ 1,500 unit dalam masa dua hari sahaja, betul tak?  - Kedahnews.com