620 Murid Cipta Rekod Paling Ramai Main Ukelele


ISKANDAR PUTERI – Seramai 620 murid daripada 24 sekolah rendah dan 32 taska Johor Bahru berjaya cipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori penyertaan ‘Paling Ramai Bermain Alat Muzik Ukelele’ sambil menyanyi, di negara.

Acara yang julung kali diadakan itu berlangsung di Stadium Educity di sini, malam tadi, disertai oleh murid-murid berusia dari empat hingga 12 tahun.

Pengiktirafan diberikan setelah mereka selesai memainkan tiga lagu iaitu Muafakat Johor, ‘Mary Had A Little Lamb’ dan ‘Little Tiger’ menggunakan Ukelele secara serentak dan lancar.

Plak pengiktirafan MBOR disampaikan Pengurus Pejabat MBOR, Lee Poi Leng kepada penganjur, Grownce Sdn. Bhd., sebuah agensi yang membantu pelajar dalam bidang pendidikan di sekolah dan taska.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Siew Kiong.

Untuk rekod, penyertaan paling ramai bermain ukelele setakat ini adalah seramai 8,000 pemain di Hong Kong, China pada 2008, bagi memecahkan Guiness World of Records.

Terdahulu, Pengarah Operasi Grownace Sdn Bhd Willen Wong Wai Lun berkata murid-murid terlibat telah membuat persiapan hampir empat bulan bagi mencatatkan rekod itu.

“Antara syarat yang diberikan oleh pihak MBOR bagi mencatat rekod ini adalah semua peserta haruslah tahu untuk menggunakan alat muzik ukelele.

“Jadi, kami memberikan tunjuk ajar kepada mereka bagaimana menggunakan ukelele di sekolah dan pusat pendidikan kami.

“Memandangkan alat muzik itu agak mudah untuk dipelajari bagi kanak-kanak, maka ia tidak mustahil kami berjaya mencatat rekod ini,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata kejayaan yang dicatatkan itu menunjukkan bahawa alat muzik mampu membina minda kanak-kanak selain mengasah bakat yang terpendam.

“Penyertaan seperti ini dapat membangkitkan semangat mereka untuk belajar menggunakan alat muzik, berfikir secara kreatif, inovatif dan proaktif, di samping menanam sikap perpaduan antara mereka terutama sekali dalam menjayakan program sebesar ini,” katanya. – BERNAMA