80 Skrin Besar Siar Aksi Final Piala Malaysia Di Kedah


ALOR SETAR - Rakyat Kedah yang tidak berpeluang ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini, masih berpeluang merasai kehangatan saingan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Takzim (JDT) melalui paparan skrin gergasi.

Lebih 80 skrin gergasi akan ditempatkan di semua 15 kawasan Parlimen di Kedah khusus untuk menyiarkan secara langsung aksi akhir Piala Malaysia itu.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata inisiatif itu diambil pihaknya untuk memberi peluang kepada penyokong Kedah yang tidak dapat ke Stadium Shah Alam, untuk bersama-sama menzahirkan sokongan kepada skuad Helang Merah.

"Dataran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini, akan menjadi lokasi utama penayangan aksi secara langsung saingan akhir Piala Malaysia itu, dengan tayangan serentak di lebih 80 lokasi lain seluruh negeri.

"Program akan bermula jam 8.30 malam Sabtu ini dengan turut disajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah dan hadiah istimewa kepada pengunjung," katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Pasukan Kedah akan turun dengan misi besar untuk mempertahankan trofi paling berprestij dalam sukan bola sepak negara itu, dengan aksi kali ini adalah ketiga berturut-turut buat Helang Merah.

Piala Malaysia cukup penting buat Kedah dalam melengkapi senarai trofi musim ini, selepas kejayaan merangkul Piala Sumbangsih dan Piala FA, masing-masing dengan membenam JDT dalam aksi final.

Selain skuad utama, skuad pembangunan negeri turut menyumbang trofi bermakna dengan menjuarai Piala Belia 2017 bulan lalu.

Shaiful Hazizy berkata, penganjuran program itu bukanlah yang pertama diadakan kerana banyak kepemimpinan di peringkat bahagian sebelum ini sudah melakukannya dengan mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Kita yakin penyokong dan peminat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahukan pasukan yang dibarisi pemain kampung, berjaya menewaskan pasukan Johor yang dikategorikan pasukan hebat.

"Apabila adanya tayangan skrin besar ini, semua penyokong dapat berkumpul bersama-sama memberi sokongan sekali gus membuktikan pasukan Kedah mempunyai penyokong yang datang dari pelbagai latar belakang," katanya.

Mereka yang mahu mendapatkan maklumat mengenai lokasi tayangan skrin besar bolehlah melayari www.facebook.com/MBOcommOfficial.

Sumber: BH Online