PORT DICKSON - Kira-kira 95 peratus daripada 122 mangsa yang maut semasa kebakaran di seluruh Malaysia dari Januari hingga 16 Nov tahun ini, didapati meninggal dunia ketika sedang tidur, kata Penolong Ketua Pengarah (Latihan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Hamdan Wahid.
Beliau berkata kebanyakan penghuni yang maut dalam kebakaran ialah pada pukul 12 tengah malam sehingga pukul 4 pagi yang mana ketika itu mangsa sedang nyenyak tidur.
Hamdan berkata mengikut statistik kematian akibat kebakaran di rumah kediaman dari awal Januari hingga 16 Nov ini, juga menunjukkan peningkatan kepada 122 kes kematian direkodkan berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 80 kes.
"Peratusan ini meningkat akibat kecuaian dan juga kealpaan penghuni kerana mengambil ringan soal keselamatan di dalam rumah dengan tidak menyediakan alat pengesan asap dan juga alat pemadam api di kediaman mereka.
"Oleh itu pihak bomba sedang giat melakukan 'jangkau luar' untuk menyampaikan maklumat kepada anggota masyarakat dengan memberikan taklimat dan kempen serta memberi 'alat pengesan asap' dan 'alat pemadam api' untuk diletakkan di dalam rumah'," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Kunci Projek Pembinaan Rumah, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), My Beutiful Neighbourhood di sini, semalam.
Turut hadir bagi merasmikan majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri Datuk Tun Hairudin Abu Bakar dan Pengarah JBPM Negeri Sembilan Norazam Khamis.
Mengulas lanjut, Hamdan berkata sekiranya terdapat mana-mana persatuan ataupun komuniti yang berhasrat untuk mendapatkan taklimat mengenai tindakan awal jika berlaku kebakaran, mereka diminta datang ke balai bomba berdekatan dan memohon pihak bomba memberikan taklimat atau ceramah di kawasan kediaman mereka.
Sementara itu, Hamdan berkata sejak 2012, sebanyak 180 buah rumah yang terlibat dalam kebakaran telah dibina semula di bawah program pembinaan semula rumah NBOS, My Beautiful Neighbourhood dengan kos keseluruhan sebanyak RM7.28 juta.
Beliau berkata objektif bagi projek pembinaan semula ini ialah membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah supaya ada tempat untuk berteduh selepas rumah mereka musnah dijilat api.
"Tidak semua rumah yang terbakar, pihak bomba akan bina semula tetapi perlulah menepati kriteria yang ditetapkan contohnya seperti di kawasan luar bandar kerana rumah mereka tiada perlindungan insurans berbanding di bandar.
"Ini juga adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat pihak bomba kerana rumah ini telah dibina oleh anggota kami sendiri yang memiliki kepakaran dalam pertukangan tanpa mengambil sebarang upah," katanya.
Hamdan berkata kos pembinaan sebuah rumah dianggarkan RM30,000 ke RM40,000 yang hanya mengambil kira kos membeli bahan binaan.
Rumah yang dibina semuanya memiliki tiga bilik tidur dan satu ruang tamu serta dua bilik air.
Pada majlis itu kunci rumah diserahkan kepada Maimunah Husin yang rumahnya di Mukim Si Rusa, Telok Kemang, di sini, terbakar pada April lepas dan telah dibina semula oleh pihak bomba dalam masa 40 hari.- BERNAMA