ALOR SETAR - Seorang ahli perniagaan di Alor Setar, kerugian RM44,500 selepas terpedaya dengan sindiket menyamar pegawai polis dengan mendakwa kereta sewa dipandunya terbabit dalam kemalangan langgar lari di Johor Bahru dengan dadah ditemui dalam kereta tersebut.
Mangsa yang mahu dikenali Jong, 40-an, berkata dia menerima panggilan kira-kira 3.25 petang, semalam, ketika berada di rumahnya di Alor Setar, dan lelaki itu memperkenalkan diri sebagai anggota polis mendakwa dia terbabit dalam kes itu.
Menurut Jong, anggota polis terbabit memberitahu kereta Honda City milik seorang lelaki disewa atas namanya terbabit dalam kemalangan sehingga mangsa yang dilanggar parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Saya tidak percaya dan menafikan perkara itu kerana tidak berada di Johor pada waktu kejadian namun anggota polis terbabit memberitahu mereka ada bukti salinan MyKad dan butiran peribadi saya yang menyewa kereta itu.
“Dia juga memberitahu kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan saya akan ditangkap untuk didakwa menyebabkan saya risau," katanya yang dipetik dari MyMetro, semalam.
Tambahnya lagi, lelaki itu kemudian menyambung panggilannya kepada seorang lagi lelaki mendakwa inspektor yang menyiasat kes berkenaan.
“Inspektor itu juga menceritakan perkara sama malah memberitahu menemui kad bank atas nama saya dan semakan mendapati wang dalam akaun saya sebanyak RM2.8 juta.
"Dia memberitahu menemui dadah dalam kereta dan mengesyaki saya terbabit mengedar dadah," ujarnya.
Pada masa sama, dia turut diminta bercakap dengan pegawai atasan untuk mencari jalan penyelesaian selepas memberitahu mungkin dirinya diperangkap orang lain menggunakan identitinya.
“Saya kemudian bercakap dengan seorang wanita mendakwa pegawai atasan inspektor itu yang memberitahu perkara sama, mengarahkan saya membayar wang jaminan RM100,000 jika mahu dilepaskan.
“Saya beritahu tiada wang sebanyak itu dan dia mengugut akan menghantar polis menahan saya di rumah dalam tempoh 20 minit," jelasnya.
Ujar wanita itu, jika dia ditahan, rumah serta harta disita dan ahli keluarga tidak boleh tinggal di rumah berkenaan tambah lagi dia akan dihukum gantung kerana mengedar dadah.
"Saya yang ketakutan akhirnya membuat transaksi ke dalam akaun bank diberikan mereka sebanyak RM30,000 namun dia masih tidak berpuas hati dan mendesak menyerahkan lagi wang.
"Dia juga mengarahkan jangan memutuskan hubungan dan menyuruh saya ke bank untuk memindahkan wang menyebabkan saya terus ke sebuah bank di Mergong dan memasukkan RM14,500 melalui beberapa transaksi," katanya.
Bagaimanapun sebaik pulang ke rumah kira-kira jam 9 malam pada hari sama, abangnya yang mengetahui kejadian itu mengesyaki dia ditipu dan mengajak ke Balai Polis Kota Setar untuk mendapatkan kepastian.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan saya orang ke 11 menjadi mangsa sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
"Saya percaya mereka polis berdasarkan percakapan dan nombor telefon tertera jelas dari balai polis," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Superintendan Chang Teik Paing mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -Kedahnews.com