Ahmad Bashah Hargai Warga Pendidik Corakkan Masa Depan Rakyat Kedah


SUNGAI PETANI - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menghargai peranan warga pendidik yang mencorakkan rakyat di negeri Kedah hingga ramai  di antara mereka berjaya mengharumkan negara.

"Kini negara kita mampu mengubah corak kehidupan rakyat secara drastik sebagaimana yang kita dilihat dan lalui sekarang, " kata Ahmad Bashah.

Menurut beliau beribu  golongan profesional dapat dilahirkan hasil kegigihan kepimpinan terdahulu serta daya usaha yang dimainkan oleh warga pendidik yang menyemai ilmu tanpa mengenal erti penat jerih.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Para Pendidik dan Sukarelawan Senior Masyarakat Cina, India dan Siam Negeri Kedah bertempat di Dewan Kenanga, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah semalam. 

Majlis ini diadakan bagi mengenang jasa pendidik dan sukarelawan Cina, India dan Siam yang telah menabur bakti lebih 20 tahun kepada masyarakat.



Kata Ahmad Bashah, bagi mencapai kejayaan pada masa hadapan, generasi muda perlu dicorakkan dari sekarang. 

Bagaimanapun, ujar beliau semua ini memerlukan pengorbanan dan tunjuk ajar secara berterusan dari warga pendidik dalam memberikan ilmu kepada anak-anak agar mereka dapat mengharungi dan berjaya mengapai kejayaan yang diidamkan. 

"Suka saya mengimbau kembali ke era 50an sewaktu pasca merdeka di mana negara kita masih kekurangan tenaga pendidik dan sumber kewangan dalam usaha memberi ilmu kepada anak bangsa, " kata Ahmad Bashah. 

Bagaimanapun golongan pendidik berjaya memainkan untuk mendidik anak-anak bangsa hingga akhirnya mereka berjaya dalam pelbagai bidang.

"Kita perlu bersyukur dengan  kejayaan yang kita perolehi hari ini  terutama dalam perubahan yang dilakukan bagi kemajuan dunia pendidikan, " kata Ahmad Bashah.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan masing-masing sebanyak RM60,000 kepada Sekolah Menengah Keat Hwa(Persendirian) Alor Setar, Sekolah Menengah Sin Min (Persendirian) Sungai Petani, dan Sekolah Menengah Sin Min (Persendirian) Alor Setar. - Kedahnews.com