Ajal Pengurus MyCEB Dalam Pesawat Ke London


PENGURUS Bahagian Pemasaran dan Komunikasi, Biro Pameran & Konvesyen Malaysia (MyCEB), Manisa Mohamed Nor dilaporkan meninggal dunia dalam satu penerbangan ke luar negara.

Allahyarhamah yang berumur 39 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di dalam sebuah pesawat British Airways, penerbangan BA34 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke London semalam.

Pesawat berkenaan kemudian terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara, Turki setelah disahkan penumpang tersebut telah kembali ke Rahmatullah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Datuk Zulkefli Sharif, Manisa dijadualkan menghadiri persidangan Persatuan Konvensyen dan Kongress Antarabangsa (ICCA) ke-56 yang diadakan di Prague, Republik Czech.

“Beliau pergi ke Prague ditaja oleh Jawatankuasa Penganjur Kongres ICCA 2016 yang telah diadakan di Kuching, Sarawak.

“Manisa merupakan Pengurus Penyelidikan Pemasaran MyCEB sejak enam tahun lalu. Beliau antara yang bertanggungjawab menjalankan program ‘Future Leaders’ dengan universiti tempatan.

“Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang pekerjaan dalam industri acara perniagaan dan pelancongan perniagaan,” katanya dipetik BH Online.

Jenazah Allahyarhamah akan dibawa pulang ke Malaysia dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Selasa sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ampang selepas solat Isyak.  - Kedahnews.com