“Aku Banduan, Tapi Aku Graduan”


BERGELAR banduan bukanlah penamat kehidupan dan ia juga bukan penghalang untuk seseorang mengejar cita-citanya di dalam pelajaran.

Begitulah yang terjadi kepada Jim (bukan nama sebenar) apabila berjaya mendapatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Open University Malaysia (OUM) dengan Purata Nilai gred Kumulatif (CGPA) 3.26.

Menurut laporan Harian Metro, Jim dibawa pulang semula ke Penjara Kajang selepas majlis konvokesyen kali ke-21 itu berakhir pada Ahad lalu.

Jim mengakui sokongan yang diberikan kedua-dua ibu bapa serta rakan-rakan sepenjaranya menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk tidak menghampakan mereka buat kali kedua.

“Kami saling memotivasikan diri dan menyambung pengajian sebagai langkah pemulihan. Malah, di penjara tiada gangguan dan lebih fokus.

“Harapan saya dengan meneruskan pengajian, saya dapat manfaatkan ilmu itu kelak. Saya akan praktikkan ilmu itu dalam pekerjaan sekaligus dapat membantu keluarga yang tidak putus memberi sokongan,” katanya dipetik Harian Metro.


Menurut pemuda 31 tahun ini, dia sangat berterima kasih kepada Jabatan Penjara kerana memberi peluang untuk melanjutkan pelajaran.

Melihatkan pencapaian yang membanggakan, Pengarah Penjara Selangor & Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tuan Darussalam Budin akan mengusulkan supaya tempoh hukumannya dapat dikurangkan.

“Saya amat berbangga dengan pencapaiannya. Kalau dalam penjara pun boleh dapat keputusan yang baik apatah lagi di luar penjara. Lihat betapa bagusnya dia sekarang. Dulu dia beremosi sampai terbunuh orang tetapi sistem kepenjaraan menyebabkan emosi Jim terkawal.

“Paling bagus dengan ilmu dan kelayakan yang dimilikinya, dia yakin bahawa masyarakat boleh menerimanya. Percaya diri itu penting. Ada sesetengah bekas banduan, keluar penjara jadi macam orang biasa saja dan ada sesetengah pula, sudah ada yang menanti di luar sebaik dibebaskan dari penjara,” katanya.

Terdahulu, Jim disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 dengan niat membunuh pada 11 November 2003. Atas perbuatannya, dia dipenjara selama 10 tahun pada 25 April 2006.

Bagaimanapun, hukumannya dipinda menjadi Tahanan Limpah Sultan pada 2009 kerana Jim berusia 17 tahun ketika melakukan jenayah tersebut.

Mungkin permulaan hidupnya tidak begitu indah. Namun, pengakhirannya mampu membanggakan orang sekelilingnya dan membuktikan orang sepertinya boleh berjaya. - Kedahnews.com