Akui KFA Sedikit Cuai - Datuk Jeffrey Low


KUALA LUMPUR - Pengakuan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Jeffrey Low betapa pihaknya cuai dalam urusan mendapatkan lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), membuktikan dakwaan penyokong mengatakan 'orang dalam' persatuan itu gagal melaksanakan tugas dengan baik adalah benar.

Pengerusi Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA), Wan Syazwan Wan Fadzelah berkata atas dasar itu pihaknya mahu melihat perubahan dalam dilakukan dalam tampuk pimpinan KFA.

"Bukan baharu sekarang kita tahu Kedah ada 'tiket' ke Piala AFC. Daripada Mei lalu (selepas menjuarai Piala FA) lagi kita sudah tahu yang Kedah akan ke pertandingan Piala AFC dan gesaan (mendapatkan lesen) sudah pun diberitahu lama.

"Dalam tempoh itu, apa yang mereka lakukan sehingga mereka gagal menyempurnakan prosedur yang ditetapkan oleh FAM," katanya mengulas pengakuan Jeffrey berhubung kecuaian pihaknya sehingga Kedah kempunan beraksi dalam saingan Piala AFC.


Berikutan kecuaian berkenaan, Kedah gagal melepasi syarat yang ditetapkan badan pelesenan kelab FAM sekali gus memungkinkan tempat naib juara Piala Malaysia itu bakal digantikan oleh Pahang.

Jeffrey begitupun menegaskan akan terus berusaha melakukan rayuan pada pertemuan tertutup bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kemungkinan semalam.

Mengulas lanjut, Wan Syazwan menggesa individu berkenaan melepaskan jawatan dengan segera.

"Apa yang dikatakan seakan mengiyakan dakwaan penyokong. Itu pun sudah jadi bukti yang orang dalam persatuan gagal melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab.

"Dedahkan siapa yang tidak buat kerja. Apa yang berlaku adalah bukti jelas yang mereka tidak boleh bekerja dan sebab itu kami berterusan mahu lihat ada perubahan berlaku dalam pucuk pimpinan KFA," katanya.

Sumber: BH Online