Amaran Cuaca Buruk Di Utara, Selatan Semenanjung


KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk di beberapa negeri di utara dan selatan Semenanjung.

Menerusi kenyataan terkini jam 1.11 petang tadi, ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dijangka berterusan hingga lewat petang ini di daerah Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Pulau Pinang serta daerah Kerian, Larut, Matang, Selama dan Hulu Perak di Perak.

Cuaca sama juga dijangka berterusan di Johor membabitkan daerah Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian.

Maklumat lanjut mengenai laporan ramalan cuaca boleh diperoleh menerusi laman web http://www.met.gov.my/ atau Facebook atau Twitter Metmalaysia, @malaysianmet.

Sumber: BH Online