Anggota Rela seludup 700kg daun ketum


ALOR SETAR - Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditahan anggota Rejimen Sempadan (RS) ketika cuba menyeludup 700 kilogram (kg) duan ketum bernilai kira-kira RM66,500 ke negara jiran dekat Bukit Kayu Hitam dekat sini hari ini.

Panglima 6 Briged, Briged Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, lelaki berumur 22 tahun itu ditahan lima anggota tentera setelah melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang dipandu lelaki itu dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pos Sahara, Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 2.45 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan anggota bertugas mendapati kenderaan empat roda itu dipenuhi dengan plastik hitam yang kemudiannya disahkan mengandungi daun ketum dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

"Selepas diperiksa didapati lelaki itu membawa 700kg daun ketum bernilai yang bernilai RM66,500.

"Lelaki itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang dekat sini untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, rampasan itu adalah yang keenam dilakukan pihaknya pada tahun ini.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Sumber: Kosmo