Anuar Nafi Unsur Mistik Punca Suaranya ‘Hilang’


SHAH ALAM - Penyanyi ternama tanah air, Anuar Zain menolak dakwaan bahawa unsur mistik menjadi punca dia kehilangan suaranya sehari sebelum konsert ‘Yonder Music Live Series By The Lake - Anuar Zain & You’ yang sepatutnya berlangsung pada pertengahan Januari lalu.

ANUAR ZAIN berkata, punca dia kehilangan suara selama dua bulan pada awal tahun ini disebabkan oleh penyakit Laringitis.

Sebaliknya, penghibur yang terkenal dengan lagu Lelaki Ini menegaskan, suara beliau yang hampir ‘hilang’ selama dua bulan itu disebabkan oleh penyakit Laringitis yang disahkan oleh dua doktor pakar yang merawatnya.

“Bukan unsur mistik sebab kalau saya lihat sendiri keadaan kerongkong saya memang bengkak disebabkan penyakit ini. Lagipun saya tidak merasakan sebarang elemen mistik pada diri saya.

“Saya bertemu dengan dua doktor pakar untuk mengenal pasti keadaan sebenar penyakit ini. Mengikut doktor saya mengalami Laringitis yang menyebabkan suara saya hilang,” kata Anuar kepada wartawan ketika ditemui dalam sidang akhbar konsert Emoji Rai 20 Tahun Penubuhan Fita (Falkulti Filem, Teater dan Animasi) di sini semalam.

Ditanya bagaimana beliau boleh dijangkiti penyakit Laringitis itu, Anuar menjelaskan, jangkitan itu berpunca daripada udara.

“Selalunya kalau hilang suara dalam masa dua ke tiga minggu akan pulih, tetapi penyakit yang dialami saya ini sangat serius sehingga menyebabkan suara saya hilang hampir dua bulan,” jelas Anuar lagi.

Sementara itu, Anuar bersama rakan-rakan artis lain seperti Faizal Tahir, KRU, dan Akim & The Majestret bakal menjayakan konsert Emoji pada 16 dan 17 Disember ini di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam.

Sumber: Utusan Online