Atlet Tidak Mahu Makan ‘Gaji Buta’


KUALA LUMPUR  - Seorang pelumba basikal para yang baharu terpilih dalam Program Podium hari ini merayu Institut Sukan Negara (ISN) supaya segera menyediakan jurulatih untuknya kerana tidak mahu menjadi atlet yang hanya ‘makan tidur’ buat masa ini.

Selain tidak mahu hanya makan ‘gaji buta’ (elaun bulanan) sahaja, apa yang lebih membimbangkan Muhammad Afiq Afify Rizan ialah temasya Sukan Komanwel 2018 yang semakin hampir sedangkan tiada sebarang persiapan telah dilakukan setakat ini.

Afiq yang diumumkan sebagai antara atlet para terbaharu yang dipilih menyertai Program Podium pada 12 November lalu bersama dua lagi pelumba buta iaitu Muhammad Amin Najmi Romzi dan Mohd. Khairul Hazwan Wahab berkata, bukan sahaja tiada jurulatih, ketiga-tiganya juga belum mempunyai pelumba pilot.

“Sekarang ini saya hanya makan-tidur sahaja sebab kalau hendak mula turun berlatih pun, jurulatih dan pelumba pilot pun tidak ada lagi. Itu sebabnya kami sedang berusaha merayu melalui Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) agar semua keperluan kami ini dapat disediakan.

“Pertama kami mahukan seorang jurulatih tetap. Kedua agar dapat memilih pelumba pilot untuk kami dan letakkan mereka juga di bawah Program Podium. Masalahnya sekarang, jika pelumba pilot ini tidak diletakkan di bawah program tersebut, tiada siapa yang akan mahu menjadi rakan kami kerana ia membabitkan elaun bulanan.

“Adalah tidak adil, kami dapat tetapi pelumba pilot kami tidak sedangkan kami berlatih bersama-sama, kayuh bersama-sama dan jatuh bangun pun bersama-sama,” tegas Afiq ketika ditemui dalam Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Afiq antara kumpulan pertama atlet yang dibawa Majlis Sukan Negara (MSN) mengunjungi expo tersebut bersama Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.


Mengenai gandingannya sebagai pelumba pilot, Afiq berharap agar gandingan lamanya ketika meraih emas di Sukan Para ASEAN pada September lalu dapat dikekalkan iaitu Mohd. Khairul Adha Rasol.

“Walaupun sudah menang emas tetapi kami masih belum cukup mengenali antara satu sama lain terutama dalam membentuk persefahaman yang lebih mentap selepas ini. Dulu kami diletakkan di bawah program Kita Juara di bawah MSN.

“Tetapi selepas diletakkan di bawah Program Podium yang lebih tinggi tarafnya sekarang, sudah tentu saya memerlukan pelumba pilot yang sudah memahami kekuatan dan kelemahan saya. Khairul adalah pelumba pilot yang sudah serasi dengan saya. Tetapi kalau tukar dengan orang lain, kena ambil masa lagi untuk menyesuaikan diri,” tegasnya.

Sumber: Utusan Online