Aura Butik 'Gegaq' Shah Alam


KELAB penyokong pasukan Kedah, Hijau Kuning Fans Club (HKFC) menerima 200 helai kemeja T dan tudung bertemakan Hijau Kuning tajaan Butik Riffaa Di Hati dan Velky Beauty Marketing.

Tajaan disampaikan oleh pengasas Butik Riffaa, Wan Fatimah Megat Saad, 33, kepada Presiden HKFC, Mohd Firdaus Azid, 32, di Valet Chantek, Taman Tunku Maheran, Jitra semalam.

Majlis dihadiri Duta Riffa iaitu Bella atau Nur Nabilah Zulyadaini, Pengasas Velky Beauty Marketing, Mohd Najmuddin Mohd Noor dan ketua jurulatih skuad Kedah, Mohd Nidzam Adha Yusoff.

Mohd Firdaus berkata, kelab penyokong HKFC berterima kasih dan sangat teruja apabila ada pihak sanggup menaja mereka.


Katanya, kemeja T Hijau Kuning itu akan diedar kepada ahli kelab itu sebelum bertolak ke Shah Alam dan akan dipakai pada hari perlawanan esok.

"Kami mempunyai 20 ahli wanita yang akan diberi tudung Hijau Kuning ini manakala lebih 50 ahli lelaki.

"Kelab HKFC ditubuhkan sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah ketinggalan turun menyokong setiap kali pasukan Lang Merah beraksi.

"Sebelum ini kami hanya membuat kutipan sendiri kalangan ahli untuk membeli jersi atau kemeja serta membeli tiket bola tetapi apabila dimaklumkan ada pihak mahu menaja, kami tidak menolaknya," katanya.

Sementara itu, Wan Fatimah berkata, dia bersetuju menaja kelab HKFC selepas melihat kesungguhan mereka yang tidak jemu memberi sokongan kepada pasukan Hijau Kuning.

Katanya, walaupun ini kali pertama membuat penajaan, namun dia berpuas hati kerana dapat menyemarakkan lagi sokongan kepada pasukan Kedah.

"Saya memang minat bola terutama pasukan Kedah kerana kesungguhan pemain sehingga berjaya mara ke perlawanan akhir tiga tahun berturut-turut.

"Disebabkan itu saya cuba melakukan sesuatu iaitu menaja kemeja T dan tudung Hijau Kuning dengan kos keseluruhan mencecah RM4,000," katanya.

Wan Fatimah mempunyai 13 butik pakaian di negara ini bercadang akan menaja lebih banyak kelab penyokong pasukan Kedah pada masa.

Sumber: MyMetro