Awasi Skim Cepat Kaya ‘MLM’ Di Universiti


SAUDARA PENGARANG, Bacul! Itulah gelaran paling sesuai diberikan kepada mereka yang memperdayakan mahasiswa untuk menyertai skim cepat kaya yang bertopengkan Multi Level Marketing MLM) di universiti awam seluruh negara.

Kebiasaannya operasi kumpulan ini lebih aktif ketika mahasiswa mula menerima wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau daripada mana-mana agensi kerajaan lain seperti Mara, yayasan kerajaan negeri serta syarikat milik kerajaan (GLC).

Pada waktu itu kumpulan skim cepat kaya ini akan bergerak mencari mangsa agar membuat pelaburan dalam skim tersebut. Mereka akan cuba mempengaruhi mahasiswa ini dengan pelbagai janji manis hingga ada yang terpedaya.

Kumpulan skim cepat kaya ini tahu sebahagian besar mahasiswa amat memerlukan wang dan untuk mengharapkan wang pinjaman semata-mata bagi menampung kehidupan di universiti sememangnya tidak mencukupi. Sebab itu golongan mahasiswa dilihat sebagai mangsa yang paling mudah untuk diperdayakan.

Hakikatnya, rata-rata mahasiswa kita berasal daripada keluarga yang sederhana serta kurang berkemampuan. Atas faktor itu kerajaan sejak dahulu sehingga saat ini terus berusaha memberi bantuan dari segi kewangan dengan menyediakan pelbagai bentuk biasiswa dan juga pinjaman boleh ubah.

Bagaimanapun terdapat penyangak-penyangak skim cepat kaya yang melihatkan situasi ini sebagai peluang memerangkap mahasiswa untuk dijadikan mangsa. Justeru, mana-mana mahasiswa yang melihat skim ini sebagai peluang untuk kaya cepat sudah tentu akan terpengaruh.

Lebih malang lagi sekiranya mahasiswa yang menjadi mangsa skim tersebut berasal daripada keluarga yang susah dan amat bergantung kepada pinjaman bagi meneruskan kehidupan di universiti. Cuba kita bayangkan sekiranya semua wang pinjaman yang diterima dilabur ke dalam skim cepat jaya.

Dalam pada itu, tidak kita dinafikan terdapat juga dalam kalangan mahasiswa yang menjadikan wang bantuan pendidikan sebagai modal berniaga untuk membantu keluarga di kampung dan ada di antaranya yang berjaya.

Sungguhpun begitu kejayaan mereka ini kadang-kadang disalah tafsir oleh rakan-rakan yang ingin cepat kaya tetapi enggan berusaha. Itu yang menyebabkan terdapat antara mahasiswa mudah terjebak dalam skim cepat kaya.

Diharap pihak pentadbir serta pensyarah turut bersama-sama membanteras skim cepat kaya di universiti. Mereka perlu bertindak agresif dengan mengenal pasti mana-mana pihak yang menjadi agen terutama jika melibatkan warga universiti sendiri. Kita tidak mahu mahasiswa terus menjadi mangsa kepada skim cepat kaya.

Sememangnya kerajaan telah banyak membantu dari segi kewangan kepada pelajar-pelajar universiti kita melalui skim pinjaman bantuan pendidikan dan PTPTN adalah salah satu daripadanya.

Selain itu, kerajaan juga telah membuat beberapa penambahbaikan untuk menjana kewangan mahasiswa. Antaranya menyediakan Pusat Pembangunan Keusahawanan di setiap universiti awam di Malaysia dan sejumlah peruntukan yang besar diberikan untuk tujuan tersebut.

Mahasiswa boleh berhubung dengan pengarah pusat keusahawanan universiti dan bertanyakan mengenai peluang perniagaan yang ada serta skim galakan keusahawanan yang disediakan oleh kerajaan.

Mahasiswa juga boleh membina rangkaian dengan mahasiswa lain yang telah berjaya menjalankan perniagaan dalam universiti. Kejayaan tidak boleh datang sekelip mata. Kejayaan memerlukan sokongan ilmu, usaha dan doa.

Tidak salah untuk hidup mewah tetapi bukannya melalui skim cepat kaya. Sebaliknya jadilah seorang usahawan walaupun bermula secara kecil-kecilan. Sebaik-baiknya juga tuntutlah ilmu berniaga dengan mereka yang telah berjaya.

Ingatlah wahai mahasiswa, agen-agen skim cepat kaya ini tidak akan berhenti memburu mangsa. Untuk itu mereka akan sentiasa menunjukkan kekayaan yang dimiliki seperti memandu kereta mewah dan memakai pakaian berjenama hebat.

Paling penting jangan cepat terpedaya. Lawanlah nafsu ingin cepat kaya. Bagi saya sudah tiba masanya skim ini diperangi daripada terus memperdaya dan menipu mahasiswa kita.

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH

Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber: Utusan Online