Azmin Dakwa Mahathir Dikecam Hina Bugis Kerana Pihak Media?


ALOR SETAR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mendakwa kes hina masyarakat Bugis yang melibatkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi kecoh dan mendapat kecaman hebat disebabkan oleh pengaruh media.

Video yang menjadi bukti Mahathir secara terang-terang menghina masyarakat Bugis bagai dinafikan sementara Azmin mendakwa perkara tersebut dapat diselesaikan tanpa campur tangan media.

"Saya yakin perkara yang berbangkit antara Dr Mahathir dengan dakwaan kononnya beliau menghina masyarakat Bugis itu boleh diselesaikan secara baik, bersopan, tanpa campur tangan media," katanya.

Azmin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan ADUN BN yang mendakwa beliau mengambil sikap berdiam diri berhubung kenyataan Mahathir menghina masyarakat Bugis.

Wakil rakyat BN itu turut menyatakan akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara itu.

Mengulas mengenai tindakan itu, Azmin berkata beliau tidak kisah dengan tindakan yang bakal diambil tersebut.

"Tak akan saya boleh halang, itu demokrasi. Siapa nak hantar, hantarlah," katanya ringkas.

Pada 2 November lalu, Sultan Sharafuddin menyatakan rasa murka terhadap kenyataan yang dibuat Mahathir dan menyifatkan ia cuba menghasut rakyat untuk membenci masyarakat Bugis. - Kedahnews.com