KUALA LUMPUR - Penyanyi dan peserta D’Academy Asia musim ke-3, Baby Shima memberitahu hubungannya dengan penyanyi dangdut Mas Idayu masih baik walaupun ada yang menggambarkan penyanyi lagu Cinta Ku 100% terlalu berlebihan ketika memberi komen ke atas persembahannya.
Jelas Baby Shima, dia yakin Mas Idayu hanya mahukan yang terbaik dan bukan sesuatu yang salah untuk dia ditegur dalam program itu demi menghasilkan persembahan yang mantap.
“Memang Shima dengan Mas Idayu tidak ada masalah pun. Memang itu lah sebenarnya Mas Idayu, nampak garang tapi dia seorang yang lembut dan penyayang.
“Gambar yang dimuat naik dalam laman Instagram saya hari ini memberi tanda Shima tak ada apa-apa masalah pun dengan Mas Idayu. Secara peribadi Shima memang kecewa dengan persembahan sendiri sebab tidak memuaskan pada malam itu,” katanya yang kini berada di Jakarta.
Ditanya sama ada dia malu bila video tersebut tular, kata Shima sejujurnya memang dia berasa malu bagaimanapun dia sentiasa mahu berfikiran positif.
“Saya tidak tahu video ini tular, malu memang malu tapi Shima anggap itu semua sebagai pelajaran dan pengalaman buat diri Shima.
“Saya sudah sedia menerima sebarang kritikan dan akan perbaiki kelemahan saya,” katanya.
Sumber: Utusan Online