Baby Shima Tersenarai Dalam Anugerah Dangdut Indonesia 2017


KUALA LUMPUR - Penyanyi dan peserta D’Academy Asia musim ke-3, Baby Shima terkejut apabila namanya tercalon dalam Anugerah Dangdut Indonesia 2017 menerusi kategori Penyanyi Dangdut Pendatang Baru Terpopuler.

Shima yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp akui terkejut apabila tersenarai apatah lagi pembabitannya dalam industri muzik Indonesia masih baharu.

“Pada mulanya memang saya terkejut sebab tak sangka tercalon. Saya dapat tahu berita ini pun semalam dan ingat hanya sekadar usikan tetapi rupanya betul. iye lah bukan mudah nak bersaing dengan penyanyi lain lebih-lebih lagi di Indonesia ni ramai bakat baharu yang hebat.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana semua ada kelebihan masing-masing. Berada dalam senarai tujuh terbaik pun sudah membanggakan dan satu pencapaian peribadi buat saya,” katanya.

Anugerah itu akan berlangsung pada 7 Disember depan di Jakarta, Indonesia dan pemenang adalah berdasarkan hasil undian peminat.

Shima merupakan satu-satunya penyanyi Malaysia yang menembusi senarai pencalonan terbabit.

Sumber: Utusan Online