Bahaya Anak Gemuk


SEGAMAT - Dua puluh peratus atau tiga juta kanak-kanak di negara ini dikesan menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk kegemukan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kajian melalui ujian saringan darah di klinik kesihatan di seluruh negara sejak Januari hingga November tahun ini mendapati, ancaman NCD terhadap kanak-kanak adalah membimbangkan.

Katanya, 10 peratus membabitkan 1.5 juta kanak-kanak di negara ini mempunyai masalah kegemukan.

“Mereka cenderung menghidap kencing manis, darah tinggi dan kolestrol tinggi yang dikategorikan sebagai NCD.

“Faktor penyumbang utama ialah amalan pemakanan kurang sihat seperti gemar minuman berkarbonat, pengambilan kandungan kanji tinggi dalam pemakanan dan kurang bersenam.

“Itu ialah faktor utama penyumbang NCD dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia seawal usia lima tahun selain penyakit diwarisi daripada keluarga,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Berkhatan Perdana Parlimen Segamat 2017 di Klinik Kesihatan Segamat di sini, semalam.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Jabatan Kesihatan Daerah Segamat dan UMNO Bahagian Segamat.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Segamat Senator Zahari Sarip, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap Norshida Ibrahim dan Pengarah Hospital Segamat Dr Mokhtar Ahmad.

Subramaniam berkata, sehubungan itu, kementeriannya mengadakan program untuk menjalani pemeriksaan bagi mengesan NCD terhadap kanak-kanak melalui aktiviti kemasyarakatan termasuk khatan beramai-ramai membabitkan peserta bawah 12 tahun.

Katanya, terdapat kes kanak-kanak berusia usia lima tahun mengalami NCD dan meninggal dunia beberapa bulan kemudiannya kerana mempunyai kandungan gula dalam badan yang tinggi disebabkan pengambilan air berkarbonat setiap hari.

Dalam pada itu, Zahari berkata, 84 kanak-kanak berusia lima tahun hingga 12 tahun dalam Parlimen Segamat menyertai program berkhatan secara percuma berkenaan.

Sumber: MyMetro