Bajet Kedah 2018: Limpahan Nikmat Allah Untuk Semua - Suraya


PENDANG - Limpahan rahmat Allah SWT bakal dinikmati rakyat di negeri Kedah dengan menyaksikan pelbagai perancangan yang berteraskan kebajikan sosial, pembentukan modal insan lebih berkualiti dan pembangunan ekonomi negeri yang lebih mapan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, buat julung-julung kalinya para petani dan pesawah di negeri ini bakal menerima elaun khas berjumlah RM200 selama tiga bulan berturut-turut dilihat membantu meringankan kos sara hidup mereka di negeri jelapang padi ini.

"Rasionalnya, saya melihat rakyat Kedah khususnya golongan pesawah dan penoreh kita menerima banyak manfaat dari Bajet 2018 yang dibentang Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Tahun lalu, untuk bantuan musim tengkujuh, kira-kira 70,000 penoreh kita menerima bantuan RM200 selama tiga bulan dan bantuan ini diteruskan pada tahun depan. Malah kali ini, anggaran 70,000 pesawah kita juga akan menerima bantuan RM200 selama tiga bulan.

"Dalam masa yang sama, sebagaimana tahun lalu mereka juga menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM1,200.

"Bagi rakyat Kedah yang ditimpa musibah akibat bencana banjir, kebakaran, ribut dan sebagainya, mereka juga diberikan bantuan khas yang jelas mampu meringankan beban yang ditanggung.


"Alhamdulillah. Sejujurnya, saya amat mengalu-alukan pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat negeri Kedah. Sementara menunggu hasil, sedikit sebanyak ia mampu meringankan sedikit kos sara hidup mereka.

"Syukurlah. Ratusan ribu rakyat Kedah dikurniakan rezeki Allah yang melimpah ruah. Ia juga membuktikan pihak kerajaan memberi fokus pada kebajikan rakyat. Limpahan rezeki Allah itu begitu ketara sekali kepada kita," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di sini hari ini.

Katanya, walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima peruntukan sebanyak RM120 juta setahun dari Kerajaan Pusat, namun pihaknya juga tetap komited untuk meneruskan bantuan kepada hampir 10,000 penerima di bawah Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Suraya turut berterima kasih kepada kesinambungan dasar kerajaan yang memperkasakan lagi sektor keusahawanan melalui pelbagai program yang dirancang menerusi agensi-agensi kerajaan.

Menurut beliau, ratusan ribu usahawan di negeri Kedah bakal menikmati nikmat berganda dari pelbagai program keusahawanan yang dilihat sangat membantu mereka untuk memperkembangkan lagi perniagaan masing-masing di dalam dan di luar negara.


"Sektor keusahawanan juga turut diberi perhatian oleh kerajaan. Di Kedah, kita mempunyai 35,000 usahawan di bawah TEKUN, 40,000 usahawan dari Amanah Ikhtiar, dan 70,000 usahawan yang berdaftar di bawah majlis-majlis daerah.

"Saya yakin, Bajet 2018 yang dibentang Perdana Menteri baru-baru ini bakal memberikan peluang yang lebih besar kepada usahawan-usahawan Kedah untuk berdaya saing dan merangsang perniagaan mereka ke peringkat yang lebih jauh," ujar beliau.


Bagi sektor pertanian, Suraya berharap agar program Sawah Gemilang dapat diteruskan dan diberikan penumpuan khusus di mana kaedah penanaman padi yang lebih sistematik itu terbukti membuahkan hasil berganda kepada para petani di luar kawasan Mada.

Sementara itu, beliau turut berharap agar industri ternakan ruminan di negeri Kedah dapat diperkasakan lagi bagi memastikan para penternak mampu meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan baka berkualiti tinggi di negeri ini.

"Kedah, 'trademark'nya adalah sebuah negeri pertanian. Sektor ini wajib kita beri tumpuan dan itulah yang saya perjuangkan selama ini.


"Kedah kini sedang memacu ke arah negeri agro-moden dengan pelbagai perancangan strategik yang membawa manfaat kepada rakyat Kedah, termasuk teknologi tinggi pertanian dan penternakan," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pelbagai faedah yang dinikmati rakyat Kedah dari Bajet Negara 2018, Suraya juga menghargai bantuan Kerajaan Pusat untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang sering dialami di beberapa kawasan sebelum ini.

"Para pengguna secara keseluruhannya di negeri ini dapat menarik nafas lega dengan janji Perdana Menteri untuk membantu menaik taraf prasarana industri air. Namun begitu, nantikan saja 'hadiah' dari Kerajaan Negeri," katanya memberi bayangan tentang Bajet Kedah 2018 yang bakal dibentang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.


Selain itu, Suraya turut berterima kasih atas komitmen Kerajaan Pusat terhadap kepentingan pendidikan awal kanak-kanak melalui Tadika Kemas dan Perpaduan yang kini mendidik lebih 20,000 kanak-kanak di negeri Kedah.

"Selain dari Tadika Kemas, kita Kerajaan Negeri juga menawarkan taska dan sekolah rendah taska di bawah Kerajaan Negeri yang memberi sokongan kepada pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negeri," ulas beliau lagi.


Suraya berkata, beliau juga memberikan penekanan khusus kepada pembangunan wanita di negeri Kedah terutama kepada golongan ibu tunggal, usahawan wanita, golongan profesional wanita dan wanita muda.

"Sepanjang tahun, kita sentiasa menganjurkan pelbagai program kepada golongan wanita di negeri ini.

"Kita berikan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk membantu mereka meningkatkan taraf kehidupan, pengetahuan agama, ekonomi, tenaga kerja, keusahawanan dan pemasaran, dan pelbagai bidang lain yang berkaitan golongan hawa.

"Sudah ramai yang berjaya mengubah nasib hidup, ada yang kini bergelar jutawan, ramai yang sudah dapat bekerja dan berdikari menyara keluarga, malah ada yang berjaya memasarkan produk ke luar negara," katanya, bangga dengan pencapaian wanita di Kedah.


Justeru itu, beliau menjangkakan Belanjawan Kedah 2018 yang bakal dibentang Menteri Besar di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Ahad ini akan menterjemahkan pelbagai nikmat dan manfaat yang bakal dinikmati oleh rakyat di serata negeri ini.

"Kerajaan BN Negeri Kedah akan sentiasa memberi sokongan dan memastikan kebajikan rakyat di negeri ini diberi keutamaan, kita tidak pernah gagal merealisasikan agenda penting itu. Itu yang saya harapkan untuk Bajet Kedah 2018 nanti.

"Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat telah memberikan komitmen untuk kesejahteraan rakyat di negeri Kedah, manakala Kerajaan Negeri pula akan membuktikan ia bukan sekadar cakap kosong dan kita telah berkali-kali membuktikan kemampuan kita," tegas beliau.

Suraya berkata demikian di sini, ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif bersempena pra-Bajet Kedah 2018 yang bakal dibentang Menteri Besar di sidang Dun Kedah pada Ahad ini. - Kedahnews.com