#BajetKedah2018: Ketepikan Pandangan Negatif Pembangkang Demi Rakyat


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri dan kakitangan awam di negeri Kedah diminta supaya mengenepikan pandangan negatif pemimpin Pakatan Harapan yang memperlekeh Bajet Kedah 2018 yang jelas bakal memberikan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, sudah menjadi kebiasaan bajet tahunan akan dibentang pada suku terakhir tahun di setiap negeri di negara ini dan setiap kerajaan negeri pula bertanggungjawab merancang belanjawan terbaik demi kepentingkan semua pihak.

Justeru itu katanya, adalah biasa untuk melihat pemimpin pembangkang cuba memperlekeh bajet tersebut, namun belanjawan yang dibentang Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Di Raja Hj Ahmad Bashah Md Hanipah rasionalnya adalah realistik dan mampu direalisasikan.

"Setiap tahun bajet akan dibentangkan melalui sidang dewan di mana-mana negeri malah di Parlimen. Tidak timbul isu bajet gula-gula dan sebagainya.

"Mana-mana kerajaan akan memulangkan kembali hasil untuk dikongsi dengan rakyat. Malah bajet kali ini juga dilihat bajet yg sesuai dengan rakyat negeri jelapang padi ini.

"Walaupun bajet yang dipandang sebagai bajet khayalan oleh pihak pembangkang, namun Kerajaan Negeri dengan semua jabatan pelaksana telah mempersembahkan bajet yang telah diambil kira kekuatan sumber kewangan dan hasil kerajaan." tegas beliau kepada Kedahnews.com ketika ditemui di sini, hari ini.

Syed Hafiz turut meluahkan keyakinan beliau terhadap gandingan kerajaan negeri sedia ada dan kakitangan kerajaan yang bergerak seiring memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Kedah untuk menjayakan belanjawan itu pada tahun hadapan.

Malah katanya, rata-rata majoriti rakyat di negeri ini bersyukur kepada Allah SWT dan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang berjaya mengemukakan bajet yang cukup holistik serta mampu memacu negeri ini ke arah yang lebih baik.

"Apabila jabatan dan agensi bergerak seiringan dengan kepimpinan sudah pasti ianya dapat menyalurkan segala maklumat dan cadangan bagi penambahbaikan yg sepatutnya di buat oleh kerajaan negeri.

"Rakyat negeri Kedah juga bersyukur dengan bajet yg telah diluluskan oleh sidang dewan dan ramai yang memberi reaksi positif berterima kasih kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan Negeri yakin dengan kepakaran dan kebolehan kakitangan pelaksana mampu menterjemahkan bajet ini menjadi realistik.

Tegas Syed Hafiz, sememangnya bajet tahunan sebaik ini akan dicemburui pihak pembangkang yang pernah suatu ketika sebagai kerajaan mentadbir yang mentadbir negeri. 

"Akhirnya mereka juga mengakui disebabkan tiada kesepakatan di antara mereka yang berlainan ideologi politik di satukan menjadi sebuah kerajaan. 

"Secara tidak langsung telah merugikan rakyat yang menunggu selama 5 tahun untuk menyerahkan kembali kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengemudi kerajaan yang ada hari ini.

"Kalau difikirkan soal politik, ianya memang dicemburui oleh pihak parti lawan kerana sebagai parti yang mewakili kerajaan semestinya akan memberikan bajet yang terbaik iaitu sebagai terima kasih kepada rakyat yg memberi kepercayaan. 

"Malah hubungan yang baik dengan kerajaan pusat yang dapat dilihat apabila YAB Perdana Menteri telah berulang kali turun ke Kedah memberi fokus membantu negeri " ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Bajet Kedah 2018 yang dibentang Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Ahad lalu dan telah diluluskan sebulat suara pada sidang dewan yang berakhir semalam. - Kedahnews.com