Banjir Bawa Rezeki Peniaga Pakaian Bundle


BUTTERWORTH - Banjir bukan sahaja membawa musibah, namun ia bagaikan satu bencana yang memberi kesan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Namun di sebalik bencana, ia merupakan satu medium bagi sesetengah pihak untuk menjalankan perniagaan mereka.

Tidak ketinggalan kepada pemilik pakaian terpakai atau lebih dikenali sebagai pakaian bundle yang menjalankan perniagaan berhampiran Pusat Penempatan Banjir Lubuk Meriam, Tasek Gelugor.

Peniaga, Roslan Ishak, 53, berkata dirinya sebelum ini sememangnya menjalankan perniagaan menjual pakaian bundle tidak jauh daripada dewan orang ramai ini.

"Kebetulan pula dengan banjir yang berlaku ini, jadi saya jual baju sejuk, jaket, tidak ketinggalan juga selimut di sini.

"Pakaian terpakai yang saya jual ni pun tak mahal, sebab niat saya, saya nak bantu orang, biar untuk sedikit tidak mengapa asal boleh bantu, contohnya, kalau sebelum ni harga dalam RM20 macam tu kali ini masa banjir ni, saya kurangkan jadi dalam RM10, bergantung kepada jenis dan keadaan baju," katanya.

Katanya, dirinya bersyukur kerana pendapatan yang diperoleh agak tinggi berbanding dengan hari biasa.

"Alhamdulillah, kalau nak kira, la jualan agak tinggi, banding sebelum ni, sebab ramai yang datang beli.

"Saya cuma nak bantu ringankan bebanan orang ramai, sekurangnya depa tak payah dah nak pi jauh-jauh nak beli, kat saya ni pun ada jual," katanya.

Sumber: Sinar Online