SEPANG - Tuduhan sesetengah pihak bahawa bantuan kemanusiaan dan infrastruktur yang disalurkan Malaysia kepada etnik Rohingya di Bangladesh adalah pembaziran disifatkan sebagai negatif serta tidak berperikemanusiaan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata tuduhan yang dilemparkan mengatakan kerajaan membazir duit membina kemudahan seperti hospital medan di kem pelarian di sana adalah kerana mereka tidak melihat sendiri dan melalui keadaan sebenar di sana.
Beliau yang mengetuai Delegasi Parlimen Malaysia dalam rangka lawatan ke kem pelarian etnik Rohingya di Bangladesh berkata penubuhan infrastruktur seperti hospital medan yang kini 30 peratus siap adalah sumbangan penting bagi Malaysia dalam arena politik antarabangsa dan ia adalah satu tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan untuk menyalurkan sumbangan di peringkat antarabangsa.
"Ia adalah satu pengalaman berharga buat ahli Parlimen yang menyertai lawatan ini kerana kita mendapat maklumat terus dari lapangan yang mana sebelum ini hanya mendengar dari pihak ketiga.
"Keadaan kehidupan masyarakat di sana jauh daripada yang kita jangkakan, malah lebih teruk daripada apa yang dibayangkan.
"Keadaan khemah yang sama sekali tidak akan mampu melindungi mereka ketika musim hujan yang bakal melanda Bangladesh hujung tahun ini menambahkan lagi kedaifan yang kita lihat, selain itu dari segi kebersihan dan keperluan makanan serta minuman yang sangat kritikal ketika ini.
"Disebabkan itu, kerajaan daripada pelbagai negara termasuk Malaysia terus menyalur bantuan melalui beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebaik tiba dari Bangladesh, hari ini.
Delegasi membabitkan seramai 13 ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan PKR mengadakan lawatan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh sejak 24 November lalu, dengan bantuan disalurkan termasuk pembinaan sebuah surau yang mampu memuatkan 300 jemaah dalam satu-satu masa.
Selain itu, bantuan seperti barangan asas seperti makanan kering seberat 25 tan hasil sumbangan syarikat multinasional Halal di Malaysia turut diterbangkan ke Bangladesh untuk membantu meringankan beban ditanggung pelarian Rohingya di sana.
Sementara itu, Timbalan Ketua Delegasi Parlimen Malaysia, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata lawatan itu antara lain sebagai desakan kepada kerajaan Myanmar untuk membawa pulang pelarian Rohingya ke tempat asal mereka.
"Jika kita lihat dengan mata sendiri keadaan di sana, memang amat menginsafkan. Bila diberikan bantuan sebuah surau, saya lihat sendiri, cara mereka berdoa ketika di dalam surau itu, sangat bersungguh-sungguh tanda kesyukuran tidak terhingga kerana dapat melakukan ibadah di tempat yang lebih sempurna," katanya.
Sumber: BH Online