Baru Hilang Motor, Kereta Kamal Pula Remuk


BIASANYA lepas hujan mesti akan muncul pelangi… Tapi lain pula bagi pelakon Kamal Adli apabila dia ditimpa beberapa musibah selepas menjadi juara Super Spontan Superstar 2017 bulan lalu.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli memberitahu satu sumber bahawa kereta yang dipandunya telah melanggar sebiji tayar yang tercabut daripada sebuah lori di Lebuh Raya Utara Selatan dari arah Seremban.

Ketika insiden tersebut, dia ingin pulang ke Kuala Lumpur pada minggu lalu. Namun, mujur pelakon berusia 31 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi dia hanya terkejut dengan insiden dramatik berkenaan.

Ini kerana ketika kejadian, dia menerima hentaman yang sangat kuat yang membuatkan keretanya remuk.

“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan tiba-tiba ternampak tayar berserta sport rim yang tercabut daripada lori berada di atas lebuh raya.

“Memandangkan kejadian itu amat pantas, saya gagal mengelak lantas melanggar roda tersebut menyebabkan berlakunya satu hentaman kuat di bahagian hadapan kereta.

“Syukurlah keadaan lalu lintas ketika itu tidak begitu sibuk. Jika tidak, lebih buruk jadinya. Setelah buat laporan polis, difahamkan terdapat juga kereta-kereta lain yang mengalami kes sama,” katanya.

Sebelum ini, Kamal juga telah kehilangan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Aprilla Shiver sebelum pertandingan Super Spontan 2017 diadakan.

Bukan itu sahaja, Kamal juga mengatakan bahawa ketika itu, banyak ujian yang melanda dirinya termasuk mengenai keretakan hubungannya dengan bekas kekasih hati, Emma Maembong.

Walaupun hubungan percintaan mereka telah tamat, itu tidak membuatkan kedua-dua pelakon ini bermusuhan. Kamal telah memuat naik satu gambar di akaun Instagramnya berkenaan hadiah iPhone X daripada Emma sendiri.

Wah wahh… Untungnya Kamal. Nampaknya Emma masih sayangkan Kamal tu. Agak-agak ada lagi tak peluang untuk mereka kembali berbaik semula? Kita doakan yang baik-baik je okay untuk Kamal dan Emma.

Selain itu, Kamal ketika ditemui oleh sebuah akhbar tempatan, turut memberitahu bahawa dia bakal mengeluarkan minyak wangi di bawah jenamanya sendiri dalam masa terdekat ini.

“Mungkin awal tahun depan saya akan keluarkan minyak wangi dengan kerjasama AJ De Parfum. Disebabkan saya seorang aktif dan cepat berpeluh, saya cadang ingin mengeluarkan bauan boleh tahan lama.

“Jika boleh, apabila cecair wangian itu bercampur dengan peluh tubuh seseorang, diharap boleh menghasilkan aroma yang lebih segar dan menyenangkan.

“Maklumlah, bau peluh membuatkan orang di sekeliling kita berasa tidak selesa,” tambahnya ketika ditemui semasa majlis ramah mesra bersama peminat anjuran AJ De Parfum di Subang Impian, Ahad lalu.

Diharapkan apa yang terjadi terhadap Kamal ini akan menaikkan lagi semangtanya untuk meneruskan aktiviti seninya. Bukan apa, mungkin apa yang etrjadi ni merupakan ujian buat Kamal.

Kan orang kata ujian itu mematangkan kita. - Kedahnews.com