Baru Umur 12 Tahun Tapi Sudah Hisap Dadah


KOTA KINABALU - Seorang penagih dadah mengaku berjinak-jinak mengambil syabu seawal usia 12 tahun kerana dicabar rakan sebaya.

Suspek rakyat tempatan yang mahu dikenali sebagai Ali, 22, berkata, dia terjerumus sebagai penagih dadah akibat pengaruh rakan sebaya dan gagal untuk menghentikan ketagihannya.

"Sejak daripada itu saya gagal berhenti. Jika tidak mengambil syabu saya tidak boleh berfikir, gelisah dan sukar untuk menjalani kehidupan seharian," katanya.

Ali yang berkerja sebagai mekanik antara 15 suspek yang ditahan dalam serbuan operasi ops bersepadu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu di sekitar Likas dan Puri Warisan hari ini.

Dalam serbuan antara pukul 9 malam hingga 2 pagi hari ini, seramai 30 ditahan untuk menjalani ujian air kencing di ibu pejabat AADK Kota Kinabalu di Wisma Dang Bang Dang di sini.

Ketua Pegawai Operasi AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, risikan AADK dan maklumat awam mendapati lokasi serbuan menjadi sarang penagihan dadah.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati 15 suspek positif dadah syabu.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1953. -

Sumber: Kosmo