ALOR SETAR – Seorang bayi berusia 25 hari merupakan antara 1,000 peserta yang menyartai Majlis Berkhatan Perdana peringkat Parlimen Baling yang diadakan di Kompleks Rakan Muda, Pulai di sini, semalam.
Bayi lelaki tersebut, Syiab Azzuri Syazwan merupakan anak kedua kepada pasangan Siti Raudah Omar, 28 dan suaminya, Syazwan Mohd. Ayob, 31.
“Dahulu, kami pernah terfikir untuk mengkhatankan anak sulung, Sufian Assuhri yang kini berusia setahun 10 bulan ketika masih bayi tetapi kami agak takut pada waktu itu.
“Bagaimanapun, kali ini kami memberanikan diri setelah mendapat nasihat daripada doktor dan alhamdulillah, proses berkhatan berjalan dengan sempurna,” ujar Siti Raudah yang masih berpantang ketika ditemui dalam majlis tersebut di Baling, semalam
Ujarnya, doktor menasihatkannya supaya kerap menukar lampin bayinya supaya luka pada bahagian khatan cepat sembuh.
Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penganjuran program oleh Pusat Khidmat Masyarakat kawasannya itu dilakukan bagi meraikan kanak-kanak sempena bermulanya cuti persekolahan.
“Ini merupakan penganjuran kali ke-10 dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kami menyasarkan 1,000 kanak-kanak daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan dikhatankan sehingga lewat petang ini,” katanya.
Majlis tersebut berlangsung dengan kerjasama Hospital Daerah Baling dan Kelab Putera 1Malaysia yang melibatkan seramai 56 doktor, 18 pembantu perubatan dan seorang mudin bersama pembantunya.
“Dengan adanya program seperti ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan,” jelasnya. - Kedahnews.com