Bekas Menteri Sabah Acu Pistol Pada Pemandu Uber


KOTA KINABALU - Seorang bekas menteri Sabar didakwa mengugut bunuh dan mengacukan pistol selepas kenderaannya berlanggar dengan kenderaan Uber.

Menurut laporan The Star Online, bekas menteri berkenaan cuba melarikan diri selepas insiden tetapi dihalang pemandu Uber itu.

Mangsa yang berumur 65 tahun menceritakan kejadian tersebut di pejabat DAP semalam.

"Dia kata pada saya, awak nak mati, saya tembak awak, sambil mengacukan pistol ke arah saya selepas saya meminta nombor telefonnya," kata mangsa mengenai kejadian Khamis lepas berkenaan.

Warga emas itu dilaporkan turut 'mencabar' suspek untuk menembaknya kerana dia 'sudah tua'.

Hanya selepas itu, bekas pemimpin itu menyimpan pistolnya dan menyuruh pemandu itu datang ke pejabatnya.

Kata mangsa lagi, nombor telefon yang diberikanjuga gagal dihubungi.

"Saya harap polis siasat kejadian ini," katanya selepas membuat laporan polis di stesen Karamunsing, Jumaat lalu.

Sumber: Sinar Harian