Bekas Setiausaha PPBM Cabar Mukhriz Debat


SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman mencabar Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir  untuk berdebat.

“Ayuh Mukhriz, debat dengan saya jika anda mempunyai kebolehan sendiri tanpa perlu bergantung kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” cabarnya.

Beliau berkata, Mukhriz diajak duduk sepentas dengannya dan berdebat secara terbuka supaya rakyat Malaysia tahu adakah benar beliau dan partinya bejuang demi  Malaysia dan rakyat atau demi kepentingan peribadi.

“Anda tidak perlu lari dan berselindung di belakang ayahanda tercinta yang sentiasa memberi talian hayat. Sahutlah cabaran untuk berdebat dengan saya pada hari Jumaat, 17 November ini jam 9 malam,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha melahirkan budaya politik yang lebih sihat, Mukhriz dipelawa meraikan perbezaan pendapat ,selagi ia berteraskan hujah dan kebenaran sebenar.

“Saya berpendapat, pemimpin boleh berdebat secara ilmiah walaupun berasal daripada parti atau pandangan politik berlainan. Anda (Mukhriz) ada 72 jam untuk menyahut cabaran ini,” ujarnya.

Kamarul berkata, diskusi pertama dilakukan pada 10 November lalu, di mana masyarakat telah didedahkan dengan pelbagai maklumat supaya mereka dapat memahami apa yang berlaku di belakang tabir dan apa diperjuangkan parti itu.

April lalu, Kamarul Azman secara rasmi mengisytiharkan keluar dari Bersatu berkuat kuasa serta merta kerana mendakwa parti itu mengamalkan kronisme dan pilih kasih.

Beliau juga PPBM tiada hala tuju sebenar tetapi hanya memfokuskan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Kedahnews.com