Belum Perlu Isytihar Darurat - Guan Eng


GEORGETOWN - Keputusan untuk mengisytiharkan darurat atau sebaliknya susulan banjir yang melanda Pulau Pinang, hanya akan dibuat selepas berunding dengan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata kerjasama akan dijalin bersama Kerajaan Persekutuan bagi menyemak prosedur operasi standard (SOP) menangani bencana negeri sedia ada supaya penyelarasan lebih berkesan dapat dilakukan.

"Tidak perlu untuk kerajaan negeri mengisytiharkan darurat bencana kerana keadaan pada masa ini adalah terkawal selepas wujudnya kerjasama dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Darurat hanya akan diisytiharkan oleh kerajaan negeri selepas berunding dan mendapat nasihat Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hujan lebat berterusan lebih 17 jam sejak 12 tengah hari semalam, memburukkan keadaan banjir yang melanda kebanyakan kawasan di negeri ini.

Air yang naik mendadak turut melumpuhkan sebahagian besar kawasan di Georgetown dan Seberang Perai termasuk menyebabkan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang serta kesesakan lalu lintas luar biasa di negeri ini.

Sementara itu, Guan Eng berkata, purata taburan hujan dan tempias taufan Demrey adalah punca utama banjir di kebanyakan kawasan di negeri ini.

"Bencana ini disebabkan kelebatan hujan di beberapa tempat, mencecah sehingga 372 milimiter (mm), selain Pulau Pinang mengalami tempias taufan Damrey yang melanda Vietnam.

"Malah, Jabatan Kaji Cuaca turut mengeluarkan amaran hujan pada paras merah, iaitu hujan yang amat lebat bagi Pulau Pinang dan Kedah," katanya.

Sumber: BH Online