DATUK Seri Najib Razak mengingatkan pengguna media sosial di negara ini supaya berlaku adil serta lebih bertanggungjawab terhadap setiap perkara yang dimuat naik di laman maya.
Perdana Menteri berkata, ia kerana terdapat banyak berita disebarkan di laman sosial tanpa fakta yang sah dan benar, sekali gus mengelirukan orang ramai.
Kata beliau, kini dianggarkan terdapat lebih 20 juta rakyat Malaysia yang aktif di laman sosial dan orang ramai tidak boleh percaya dengan setiap perkara yang dimuat naik di Internet.
“Banyak berita palsu disebarkan malah majalah Economist edisi minggu ini turut mempersoalkan adakah media sosial kini menjadi ancaman kepada demokrasi.
“Isu penyebaran berita palsu di negara ini juga perlu dipandang serius memandangkan seorang ahli strategi politik terkenal Amerika menganggap ia adalah salah satu masalah utama dalam politik," katanya berucap pada Persidangan Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2017, di ibu negara, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan serta Presiden Dewan Sosial Media Malaysia (SMC), Shahul Hameed Dawood .
Dalam pada itu, Najib berkata, banyak pengguna media sosial dan blog yang menyebarkan pelbagai propaganda palsu seperti Malaysia akan muflis, negara yang gagal serta sudah tiada demokrasi di negara ini.
“Tiada asas untuk semua tuduhan berkenaan kerana jika Malaysia akan muflis, menjadi negara yang gagal atau sudah menjadi diktator, mengapa Bank dunia boleh mengiktiraf ekonomi negara yang dianggap semakin kukuh.
“Selain itu, Wharton School, Universiti Pennsylvania dalam laporannya turut mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang terbaik untuk pelaburan.
“Paling utama, jangan ketepikan fakta bahawa Malaysia kini dihormati di seluruh dunia dari Washington, Beijing, Riyadh, New Delhi hingga ke London," katanya.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Najib turut dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Global dalam Pembabitan Media Sosial manakala selebriti terkenal, Zizan Razak dipilih sebagai Ikon Media Sosial Malaysia 2017.
MSMW 2017 yang diadakan selama dua hari itu dianjurkan SMC dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sumber: MyMetro