ALOR SETAR - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menafikan kenyataan 'Tarif Elektrik Terpaksa Dinaikkan Bagi Melindungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Daripada Kerugian- Najib Razak' seperti yang tular di dalam media sosial baru-baru ini.
Menurut Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, dalam kenyataan semalam, berita tersebut adalah tidak benar dan telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat umum.
"KeTTHA juga ingin memaklumkan bahawa kenyataan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah kenyataan lama bertarikh 16 Mei, 2014.
Justeru itu, kementerian telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil tindakan selanjutnya dengan serta-merta, katanya kepada Bernama. -Kedahnews.com