SHAH ALAM - Saban tahun negara menghadapi kejadian banjir yang bukan membabitkan malapetaka dan kerugian sedikit.
Misalnya, pada 2015, banjir besar di Kelantan menyebabkan kerugian kira-kira RM1 bilion, membabitkan harta benda awam.
Justeru, kerajaan dilihat wajar lebih serius untuk mempercepat projek tebatan banjir di seluruh negara.
Memetik laporan Astro Awani, beberapa negara lain berjaya melaksanakan projek tebatan banjir bagi mengelakkan kerugian jutaan ringgit akibat musibah banjir.
Negara Belanda misalnya, yang terletak di bawah paras laut, membangunkan projek perlindungan banjir terbesar dunia yang merangkumi dua elemen utama; Oosterscheldekering dan Maeslantkering.
Projek itu dilaksanakan bagi melindungi penduduknya dari risiko ribut Laut Utara.
Oosterscheldekering merupakan ’penghadang ombak ribut’ sepanjang 9 kilometer dan empangan yang diperkukuh dengan 65 tiang konkrit.
Ia melibatkan pembinaan dua penghadang dengan mekanisme buka dan tutup.
Teknologi itu membolehkan kapal keluar masuk dan penghadang akan ditutup semasa ribut.
Projek berkenaan digunakan untuk melindungi bandar besar seperti Rotterdam.
Teknologi sama turut digunakan di Sungai Thames, London dan ia mula beroperasi sejak 1982 bagi mengawal banjir di seluruh Greater London ketika air pasang di Laut Utara.
Penghadang banjir sepanjang 3km itu terletak antara Isle of Dogs dan New Charlton.
Sumber: Sinar Online