Bomba Rekod Ramai Mati Lemas Di Tali Air Dan Sungai


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan purata kematian akibat lemas seramai 590 orang dalam tempoh setahun di negara ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, jumlah itu agak tinggi dan banyak berlaku berikutan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung bahaya ketika berada di dalam air.

"Jika diikutkan angka itu agak tinggi, dengan purata sehari 1.6 orang meninggal dunia akibat lemas.

"Untuk tahun ini, bermula Januari hingga September, JBPM merekodkan seramai 253 mangsa mati lemas dan daripada jumlah itu, tali air serta sungai mencatatkan lokasi kematian tertinggi iaitu sebanyak 135 kematian," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Geting, Tumpat, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Dasar dan Ekspektorat, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Khoo Joo Bee dan Pengarah JBPM Negeri Kelantan Nazili Mahmood.

Wan Mohd berkata, sehubungan itu, JPBM mengambil pelbagai pendekatan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Kerajaan menubuhkan Majlis Keselamatan Air (MKA) untuk menyelaras semua isu berkaitan kes lemas disertai pihak kementerian, agensi berkaitan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan JBPM menjadi agensi utama.

"Pada masa sama, kita mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang papan tanda amaran di kawasan yang sentiasa berlaku banjir dan mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Mohd Nor berkata, JBPM sudah bersedia untuk menghadapi musim tengkujuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Sejak 1 November lalu, kita sudah mengeluarkan arahan kepada pasukan bomba bersiap sedia termasuk memastikan peralatan dan kelengkapan berada dalam keadaan baik.

"Banjir sudah berlaku di utara dan kini fokus kita adalah Pantai Timur, sebelum ke Selatan dan akhir sekali di Sabah dan Sarawak," katanya.

Sumber: MyMetro