Buang Mentaliti Guna Pemain 'Kitar Semula'


SUKAR untuk melakukan perubahan dalam skuad kebangsaan sekiranya pasukan negeri dan kelab terus mengambil pendekatan menggunakan pemain ‘kitar semula’ tanpa mementingkan melahirkan bakat baharu.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar menjelaskan tugas sebagai pengeluar pemain berkualiti untuk masa depan bola sepak negara adalah tanggungjawab persatuan negeri dan kelab, bukan 100 peratus di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mohamad berkata, siapa sahaja yang membimbing jurulatih Harimau Malaya pasti akan ‘pening kepala’ untuk melakukan pembaharuan dalam skuad itu kerana kekurangan pemain baharu bagi menggantikan pemain lama yang kualitinya sudah mencapai tahap maksimum.

“Masalah kita sekarang ini mahukan keputusan dalam tempoh singkat, baik FAM, persatuan negeri dan kelab. Bila main, semua nak menang dan bila kalah suruh pecat jurulatih.

“Sebab itu pemain kita dalam Liga Malaysia (Liga M) sekarang ini jadi seperti roda, hanya pusing pemain sama atau diambil daripada pasukan lain. Jangan buat kerja senang, kenapa negeri sendiri tidak mengeluarkan pemain baharu dan berkualiti?

“Kalau perkara ini terus berlaku, selagi itulah tiada pembaharuan dalam pasukan kebangsaan dan tahap prestasi Harimau Malaya tidak akan meningkat,” katanya yang juga bekas penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980.

Sebelum ini, beberapa pihak mencadangkan jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada menyenaraikan pemain muda untuk mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa berikutan tiada peningkatan yang dicapai skuad sedia ada.

Malah, Vingada dilihat menurunkan lebih separuh pemain muda ketika tewas 1-4 kepada Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 pada 13 November lalu.

Selain menyokong tindakan Vingada yang dianggap langkah awal pembaharuan Harimau Malaya, Mohamad turut menganggap faktor tidak mempercayai pemain muda juga menjadi punca pemain lebih senior sentiasa menjadi pilihan.

“Kalau kita tidak percaya terhadap kemampuan pemain muda, sampai bila kita nak tunggu perubahan? Sama juga di negeri, bila tengok pemain ini bekas main Liga Super, terus ikat kontrak dan letak dalam skuad utama walaupun prestasinya sudah menurun.

“Lupakanlah pemain lama, kita kena bina pasukan baharu. Kita tahu keadaan kita sekarang ini genting, tapi kalau kita tak buat sesuatu dan masih di takuk lama, memang tidak akan ada perubahan,” katanya.

Sumber: MyMetro