Budak 11 Tahun Di Alor Setar Didapati Positif Dadah


ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun didapati positif ujian air kencing dalam operasi di sebuah rumah di Kota Sarang Semut, dekat sini jam 11 pagi semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, operasi bersama pasukan ppolis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut itu telah berjaya menyelamat kanak-kanak tersebut mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

"Hasil pemeriksaan ujian saringan urin terhadap kanak-kanak ini juga mendapati dia positif dadah.

"Ibu bapa kanak-kanak tersebut adalah penagih dadah bawah  pengawasan AADK. Punca utama kanak-kanak ini terlibat dipercayai akibat pengaruh ibu bapa. Kanak-kanak ini juga didapati telah hilang minat untuk belajar dan kerap ponteng sekolah,” katanya dalam sidang media, semalam.

Turut serta pada sidang media itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Helmi Aris.

Sementara itu, Helmi berkata, kanak-kanak lelaki itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk pemeriksaan lanjut.- Kedahnews.com