“Bukan Budak-Budak Tu Bogel Pun!”


PETALING JAYA - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 masih berbaki kira-kira seminggu lagi sebelum ia melabuhkan tirainya.

Bagaimanapun, segelintir calon telah meraikan hari-hari terakhir mereka bergelar pelajar sekolah dengan melakukan ‘seni’ pada pakaian seragam masing-masing.

Mereka menganggap cara itu dapat dijadikan kenang-kenangan selepas sedekad di bangku sekolah, selain dapat melepaskan tekanan sementara menantikan peperiksaan tamat.

Beberapa gambar baju sekolah lengkap, termasuk tudung yang diconteng tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.


Selain tulisan berbentuk nama dan ucapan, turut diconteng adalah tandatangan rakan-rakan serta lukisan watak kartun.

Seorang netizen berkata, baju yang diconteng itu akan disimpan untuk kenangan sendiri pada masa akan datang dan bukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.

“Itu hari mereka, biarlah mereka bergembira. Asalkan tak conteng baju, kereta, rumah kita sudahlah,” kata seorang lagi netizen. 

Tindakan menconteng pakaian seragam selepas tamat persekolahan bukanlah perkara baharu apabila netizen memberitahu ia telah menjadi amalan sejak dulu.


“Trend ni dah lama, bukan hari ni baru tengok jenis conteng ni. Cuma beza sekarang semua benda nak kena ‘viral’,” kata seorang netizen.

“Budak-budak tu bukan bogel pun. Kau tak pernah ambil SPM ke? Tak tahu tekanan nak jawab SPM tu? Biarlah orang nak gembira,” kata seorang lagi netizen.

Namun ada yang berpendapat baju tersebut sekiranya tidak digunakan lagi sebaik-baiknya disedekahkan kepada adik-beradik lain atau mereka yang lebih memerlukan.

“Mak bapa penat cari duit belikan baju anak, kau yang anak menconteng baju tu pula,” kata seorang netizen. 

Malah tindakan menconteng baju sekolah itu dikatakan budaya luar yang tidak baik untuk dicontohi pelajar di negara ini.

“Tolonglah, jangan ikut budaya luar. Kau nak conteng pun carilah kertas lukisan. Tak mahal pun,” katanya.


Walaupun menconteng baju sekolah dikatakan sebagai kenangan tamat persekolahan tetapi cara ia ‘diraikan’ dengan mempamerkannya kepada umum adalah tidak wajar.

“Conteng tak salah, tapi cara tu. Apa salahnya conteng baju tu simpan. Ni merayau satu kampung, satu pekan. Bayangkan kalau semua sekolah macam ni, sedih ibu bapa melihat anak-anak merayau dengan pakaian macam ni.

“Semoga anak-anak kita yang kian membesar ini tidak mengikut jejak budaya menconteng. Hargai dan berikanlah kenangan kepada ibu bapa yang sehabis baik" kata seorang netizen dengan nada kecewa.

Sumber: Mstar Online