SEKALI imbas, mesti ramai berpendapat agak ‘luar biasa’ apabila dua ekor singa jantan sedang berpelukan ‘mesra’ ala gay kunyit sehingga menarik perhatian netizen seluruh dunia.
Ramai yang tertanya-tanya mengenai insiden berkenaan. Apakah sebabnya? Adakah kedua-dua singa tersebut homoseksual dan tidak bimbang dilaknat Tuhan sebagai mana nasib kaum Sodom semasa zaman Nabi Luth?
Malangnya, andaian tersebut tidak betul dan pasangan haiwan berkenaan bukanlah penganut amalan ‘gay’ seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak atau penyokong gerakan LGBT.
Perkara ini turut disahkan sendiri oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Singa di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat, Craig Parker yang dipetik pelbagai media antarabangsa baru-baru ini.
Beliau berkata, kejadian seperti itu jarang berlaku malah keadaan tersebut bukan menunjukkan singa tersebut sedang mengawan atau berasmara seperti mana yang didakwa pihak tertentu.
“Insiden ini sangat jarang berlaku dan ia bukanlah satu hubungan seksual seperti yang dilihat mata kasar,” kata Craig yang dipetik Live Science pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, kejadian sebegini bukanlah kes pertama malah insiden serupa pernah dilaporkan berlaku suatu ketika dahulu.
Antaranya seorang jurugambar yang tidak didedahkan identiti telah berjaya merakam keadaan seumpama itu di Botswana, ketika melancong di negara Afrika itu sekitar Mac 2016 lalu.
Terbaharu, seorang pemandu British yang dikenali sebagai Paul Goldstein turut berkesempatan merakamkan detik yang serupa seperti gambar ‘luar biasa’ berkenaan.
Tambah beliau lagi, kedua-dua mamalia berkenaan dilihat ‘kekal’ dalam keadaan itu lebih daripada satu minit.
“Sebenarnya apabila mereka ‘dekat’, mamalia ini tidak bertindak seperti pasangan tetapi hanya merangkak mendekati antara satu sama lain seperti mencium,” kata Goldstein.
Sementara itu bagi menjawab persoalan mengenai fenomena ini, Craig memberitahu bahawa singa biasanya menghabiskan seluruh hidup mereka untuk membiak.
Mereka mencapai tahap ini dengan bekerja dalam kumpulan kecil yang lazim terdiri daripada dua atau tiga ekor singa dan kumpulan ini dipanggil sebagai ‘gabungan’.
“Kumpulan ini akan bekerjasama untuk mengusir persaingan mereka yang menangkap singa betina serta membunuh anak-anak hasil daripada singa jantan sebelumnya,” kata Craig.
Selain itu, kajian jangka panjang sekitar 1970-an turut menunjukkan bahawa singa berjaya menjadi sebahagian daripada ‘gabungan’ itu terutamanya yang lebih besar akan mendapat lebih banyak kelebihan memikat betina.
Tambahnya lagi, mereka (singa) akan saling berpelukan, menjilat dan bergesel sesama sendiri seperti mana tingkah laku yang pernah dirakamkan oleh Goldstein lebih setahun lalu.
Jelas Craig lagi, keadaan ini turut berlaku kepada haiwan mamalia lain antaranya babun dan singa betina sebagai satu bentuk interaksi sosial kelompok binatang tersebut.
“Ia adalah satu bentuk interaksi sosial yang sama sekali tiada kaitan dengan keseronokan seksual,” jelas Craig. - Kedahnews.com