Bumi Makin Tenat - Saintis


MIAMI - Dua puluh lima tahun selepas saintis seluruh dunia mengeluarkan amaran mengenai bahaya kepada alam sekitar, kemas kini terbaru disiarkan hari ini berkata kebanyakan masalah di planet ini semakin bertambah buruk.

Lebih 15,000 saintis dari 184 negara menandatangani surat 'Amaran Saintis Dunia kepada Kemanusiaan: Notis Kedua', yang disiarkan dalam jurnal BioScience.

Versi awal, yang disiarkan pada 1992 oleh Kesatuan Saintis Prihatin, ditandatangani oleh 1,700 pakar.

Sejak itu, hampir semua ancaman besar kepada alam sekitar menjadi semakin buruk, terutama pertambahan penduduk dunia, yang menokok dua bilion lagi sejak 1992, melonjak 35 peratus.

Ancaman utama lain adalah pemanasan global dan pembebasan karbon disebabkan penggunaan bahan api fosil selain amalan pertanian tidak stabil, penebangan hutan, kekurangan air bersih, kehilangan kehidupan marin dan zon mati lautan yang semakin luas.

"Kemanusiaan kini diberi notis kedua, seperti digambarkan corak membimbangkan ini.

"Kita membahayakan masa depan dengan penggunaan material tidak sekata dari segi geografi dan demografi dan dengan tidak menganggap pertambahan berterusan penduduk dunia sebagai faktor penolak utama ancaman ekologi dan sosial," menurut surat itu. - AFP