Cadangan Tembak Pengedar Dadah Bertentangan Perundangan Antarabangsa


KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang membenarkan pegawai penguatkuasa undang-undang menembak pengedar dadah seperti yang berlaku di Filipina, dalam usaha menangani masalah narkotik dan penagihan dadah di negara ini. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sebarang pindaan undang-undang bagi membenarkan tindakan itu diambil di negara ini adalah bertentangan dengan norma perundangan dan polisi antarabangsa.

"Kita tak perlu mengikut mereka (Filipina) kerana ini akan mendatangkan banyak implikasi dan tekanan daripada pihak luar seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya negara juga bakal berdepan implikasi seperti sekatan ekonomi daripada pertubuhan antarabangsa kerana perkara itu dilihat sebagai sesuatu yang melanggar hak asasi manusia.

Terdahulu dalam sesi perbahasan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan)  mencadangkan supaya kerajaan mengikut jejak kerajaan Filipina yang mengambil tindakan amat tegas dengan menembak mati pengedar dadah yang enggan menyerah diri dalam menghentikan perbuatan pengedaran dadah.

Bung Moktar turut mencadangkan supaya penahanan tanpa bicara dikenakan terhadap pengedar dadah.

Tahun lepas, Bung Moktar juga pernah membangkitkan cadangan sama di Parlimen, dengan meminta kerajaan bertindak tegas dengan menembak penagih dan pengedar dadah bagi memastikan gejala dadah yang menjadi musuh nombor satu negara berakhir. 

Sementara itu, Nur Jazlan berkata sindiket dadah merupakan satu industri lumayan yang mempunyai tarikan kuat terutamanya kepada mereka berdepan kekangan kewangan, dan ia antara perkara menyukarkan pihak berkuasa memerangi gejala dadah.

"Selain itu bentuk dadah yang sudah berubah kepada kimia juga sukar dikesan kerana tidak mempunyai bau yang kuat seperti ganja.

"Oleh itu, keutamaan kita kini adalah pelaksanaan program pencegahan dadah dan perkara ini akan dipergiatkan lagi oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memerangi dadah," katanya RUU Perbekalan untuk Kementerian Dalam Negeri diluluskan Dewan dengan undian suara majoriti. - Bernama