HANYA kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.
Demikian pepatah yang sesuai diberikan atas tindakan seorang pemandu teksi ini yang menggenakan tambang tidak masuk akal terhadap penumpang warga asing, sekaligus memburukkan imej pemandu-pemandu teksi lain.
Harian Metro melaporkan, pemandu teksi tamak itu meminta bayaran tambang sebanyak RM160 daripada penumpang warga Myanmar bagi jarak perjalanan yang tidak sampai 10 kilometer (km).
Caj tersebut difahamkan diminta selepas menghantar mangsa dari Jalan Bukit Petaling ke Kota Raya.
Tidak berpuas hati dengan caj tambang tidak munasabah itu, mangsa kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pada Rabu.
Bertindak atas aduan, pihak SPAD berjaya mengesan dan menahan pemandu teksi terbabit di sekitar TBS.
“SPAD kemudian menahan dan mengambil keterangan dari pemandu teksi itu.
“Pemandu teksi itu kemudian mendakwa hanya meminta caj tambang sebanyak RM100 daripada mangsa,” kata jurucakap SPAD memetik portal tersebut.
Tambahnya, SPAD turut menyita teksi model Proton Saga BLM yang digunakan pemandu terbabit bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan notis 80 akta sama atas kesalahan tidak menggunakan meter tambang.
Tatkala perkhidmatan awam kini semakin banyak ditawarkan dan pelanggan mempunyai pilihan, pemandu-pemandu teksi seharusnya belajar daripada kesilapan dan tidak ambil kesempatan terhadap penumpang kerana pada akhirnya, ia akan merugikan periuk nasi pemandu teksi itu sendiri. - Kedahnews.com