“DIA (Mahathir) cakap hendak tukar kerajaan, guling Barisan Nasional (BN) namun kalau mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya 12 orang sahaja hadir, bagaimana hendak dapat sokongan masyarakat?
Itu komen 'pedas' Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang menyindir Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimana untuk mentadbir negara sedangkan usaha menguruskan pendaftaran gabungan tersebut sehingga kini masih gagal.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kegagalan Pakatan Harapan yang didalangi DAP mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) jelas menunjukkan kelemahan pengerusinya.
“Tidak sepatutnya seorang pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tiba-tiba hendak menguruskan pendaftaran parti pun tidak boleh selesai, " katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Beliau juga hairan bagaimana Pakatan Harapan hendak uruskan negara dan lebih malang, mesyuarat agung PPBM ini juga hanya dihadiri 12 orang sahaja sedangkan ia memerlukan dua pertiga kedahiran perwakilan.
Dr. Mahathir sebelum ini mengakui kelemahan PPBM di peringkat cawangan dan bahagian menyebabkan parti itu tidak boleh melaksanakan mesyuarat agung, yang sepatutnya dibuat setelah genap setahun penubuhannya.
Kelewatan lain yang menyebabkan Pakatan Harapan belum boleh didaftarkan kerana DAP belum menghantar laporan mengenai mesyuarat pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti yang diadakan baru-baru ini.
Bagaimanapun kelmarin, Dr. Mahathir turut menuding jari kepada ROS kerana tidak memaklumkan kepada mereka tentang masalah` yang dihadapi hingga permohonan untuk mendaftar Pakatan Harapan tergendala.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seperti mana yang dilaporkan kelmarin menjelaskan ROS tidak boleh meluluskan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan kerana masih terdapat beberapa perkara yang belum diselesaikan oleh dua parti (PPBM dan DAP) yang bergabung pakatan pembangkang tersebut.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, setakat ini, ROS masih belum menerima laporan akhir termasuk senarai terkini pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilaksanakan pada 12 November lalu.
Selain itu, kata Ahmad Zahid, Parti PPBM pula masih gagal mengadakan perhimpunan agung selepas parti itu ditubuhkan tahun lalu.
Sebelum ini, (21 Oktober), Dr. Mahathir mendakwa ROS belum menjawab permohonan Pakatan Harapan untuk mendaftarkan DAP, PKR, PPBM dan PAN sebagai satu gabungan rasmi.
ROS juga h memberi amaran kepada PPBM bahawa parti itu boleh dibatalkan selepas melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.
Bagaimanapun, sehingga kini PPBM masih belum mengumumkan sebarang tarikh untuk mengadakan AGM tersebut. - Kedahnews.com
