FAKTOR utama tragedi banjir besar dan tanah runtuh terkini yang berlaku di Pulau Pinang adalah disebabkan disebabkan oleh penghapusan hutan bukit.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris berkata ini adalah banjir terburuk dan telah menyebabkan gangguan kepada kehidupan seharian penduduk.
"Ya, telah berlaku hujan lebat tanpa henti dan angin yang sangat kuat. Tetapi faktor utama yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh ini adalah disebabkan oleh penghapusan hutan bukit.
Penolakan sungai dan pembangunan di Pulau Pinang yang telah menggantikan kawasan hijau dengan konkrit, " kata Presiden CAP yang dipetik daripada Harakahdaily hari ini.
Menurut Mohamed Idris, penghapusan bukit itu mengakibatkan air hujan yang lebat itu tidak dapat dialirkan kerana kehilangan pokok dan kawasan yang bertindak sebagai 'span' menyerap air dan kerana sistem sungai dan saliran tersumbat oleh lumpur dan tidak dapat membersihkan air hujan.
"Kerajaan negeri harus menyedari sepenuhnya bahawa kita berada dalam krisis alam sekitar dan sosial. Ia tidak boleh dinafikan lagi bahawa kita mempunyai masalah yang besar dan harus ditangani," kata Presiden CAP itu mengingatkan kerajaan negeri sepatutnya tidak mempertahan dan menafikan bahawa tiada krisis atau masalah.
Beliau yang juga Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) menuntut kerajaan negeri memperuntukkan lebih banyak dana pemuliharaan dan baik pulih lereng bukit yang rosak serta mendalamkan sungai-sungai supaya dapat mengalir dengan baik.
Kerajaan negeri juga tuntutnya, mesti memperuntukkan lebih banyak kakitangan untuk memeriksa cerun bukit dan tanah bersebelahan bukit dan mengambil tindakan pencegahan.
"Kerajaan negeri mesti menggesa dan memastikan pemaju swasta untuk mengambil langkah-langkah pencegahan tambahan. Jika mereka didapati tidak berbuat demikian, atau hujan di masa depan menyebabkan masalah sama, mereka harus didakwa secara serius di mahkamah dan membayar denda.
"Kerajaan negeri harus mengkaji kekurangan dan kelemahan dalam undang-undang dan garis panduan untuk kualiti alam sekitar, pembangunan lereng bukit, saliran yang mencukupi dan mengambil tindakan untuk menghapuskan kekurangan dan kelemahan ini," gesa beliau.
Tambah Idris, tindakan juga harus diambil untuk menghentikan semua kerja di lereng bukit atau di tanah tinggi tanpa mengira sama ada tanah dan cerun ini adalah di bawah atau melebihi 250 kaki.
Sementara itu mengikut laporan media hari ini bilangan mangsa banjir di lima daerah di Pulau Pinang hingga awal pagi ini terus meningkat kepada 5,845 berbanding 3,779 mangsa malam tadi yang ditempatkan di 62 pusat pemindahan.
Di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), mangsa banjir meningkat kepada 2,119 orang awal pagi ini.
Angka itu bertambah berbanding 1,944 orang yang direkodkan pada jam 10 malam tadi, dipercayai susulan air pasang besar tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata semua mangsa ditempatkan di 27 pusat pemindahan yang dibuka sejak malam kelmarin - Kedahnews.com.