Cerita Mengenai Istana Anak Bukit Di Alor Setar Kedah


Anak Bukit merupakan sebuah bandar diraja di Negeri Kedah.

Kawasan Anak Bukit terletak berhampiran dengan Alor Merah dan Kepala Batas iaitu di Lebuhraya Darul Aman dan pekan ini terletak kira-kira 7 Kilometer dari pusat bandar Alor Setar dan dapat dihubungkan dengan Lebuhraya Darul Aman.

Istana Anak Bukit pula terletak di bandar diraja Anak Bukit iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah di negeri Kedah Darul Aman. 

Istana Anak Bukit merupakan tempat bersemayam keluarga diraja iaitu DYMM Tuanku Sultan Kedah sekeluarga. 

Selain itu, terdapat lambang mohor diraja pada pintu masuk ke istana beserta pokok-pokok hujan di sepanjang jalan masuk ke dalam istana. 

Pada bahagian belakang istana pula terdapat satu aliran sungai yang dipanggil Sungai Anak Bukit dan ianya mengalir melalui Alor Setar yang menghubungkannya dengan Sungai Kedah di muara Kuala Kedah. 


Jika anda masuk ke dalam istana ini anda akan mendapati terdapat juga zoo mini di tengah-tengah istana serta flora yang bewarna-warni di taman-taman diraja. 

Untuk makluman pembaca setia Kedahnews.com, Istana Anak Bukit merupakan sebuah kediaman rasmi Sultan Kedah iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Sir Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, GCB, KStJ. 

Baginda dilahirkan pada 28 November 1927 dan telah ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke-27 sejak 15 Julai 1958. 

Dikatakan istana ini telah menjalani ubahsuai sebanyak RM70 juta sempena dengan perayaan ulang tahun ke-50 semasa pemerintahan Sultan Kedah pada tahun 2008. 

Ubah suai ini bermula pada februari 2007 yang merangkumi pembangunan gedung baru yang bakal menempatkan khlayak baru dan ruang makan yang boleh menampung sehingga 1400 orang dalam satu-satu masa. 

Pengubahsuaian ini dapat menggantikan jumlah maksimum yang sedia ada dan ruang makan yang hanya boleh menampung kurang daripada 1000 orang. 


Bangunan ini dikatakan telah siap diubah suai pada bulan Oktober 2007. 

Istana Anak Bukit turut menerima pelawat daripada luar terutama sekali rakyat Kedah. 

Namun, sebelum memasuki istana mereka harus berurusan dengan pengurus istana terlebih dahulu dan mengikuti segala aturan yang telah ditetapkan. 

Prosesnya agak rumit dan melecehkan tetapi apabila sudah menjejakkan kaki ke dalam istana ini segala rasa itu semua akan hilang yang ada hanyalah perasaan bangga kerana dapat masuk ke dalam Istana Diraja. -Kedahnews.com