ALOR SETAR - Sekumpulan lima lelaki ditahan pihak polis kerana dipercayai cuba mencuri sejumlah gula tanpa kebenaran di Kilang Gula Padang Terap, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Noh Idris berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 55 tahun ditahan pada jam 10.45 pagi dan mereka merupakan pekerja di kilang gula terbabit.
Kegiatan kotor mereka disedari seorang penjaga stor setelah satu urusan pengeluaran gula dari kilang berkenaan menggunakan lori, disyaki terdapat unsur kecurian.
"Seorang penjaga stor mendapati alat penimbang gula pada lori itu tercatat 61,210 kilogram, sedangkan dalam tiket timbangan hanya tercatat 49,540 kilogram.
"Ekoran itu, dilakukan pengiraan semula dan mendapati kuantiti sebenar gula yang diisi dalam lori itu melebihi kuantiti sebenar yang patut dihantar dalam nota penghantaran," katanya.
Siasatan mendapati 11,670 kilogram gula bernilai kira-kira RM30,000 cuba dicuri secara bersama oleh kelima-lima suspek itu.
Suspek masing-masing bekerja sebagai operator penimbang, pemandu lori, penjaga stor dan dua pemandu jentera pengangkut di kilang berkenaan.
Berikutan itu, beliau berkata kelima-lima lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 381/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.
"Sebelum ini terdapat kes seumpama itu di kilang berkenaan, tetapi tidak mengesyaki siapa yang melakukannya dan hari ini kesemua suspek berjaya diberkas," katanya. - Kedahnews.com