DAP Harap Kerajaan Persekutuan Lulus RM1 Bilion Untuk Mangsa Banjir Di P.Pinang


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang masih berharap suatu pengumuman gembira dapat dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

 Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau amat mengharapkan supaya kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM1 bilion untuk melaksanakan projek tebatan banjir di sekitar Pulau Pinang.

 “Apa yang kita mohon ini bukan lebihan. Ini juga bukan (peruntukan) tambahan, tetapi peruntukan RM2.6 yang diluluskan lebih 12 tahun lalu dan sehingga sekarang hanya RM1.02 bilion dibelanjakan.

 “Kebayakan wang itu dibelanjakan sebelum 2008. Apa yang kita pohon adalah bukan RM1.6 bilion, tetapi hanya RM1 bilion sahaja yang telah pun diluluskan tetapi wang belum dikeluarkan. Itu yang kita minta,” katanya kepada media, semalam.

 Menurutnya, pihaknya amat mengharapkan supaya perdana menteri dapat mengumumkan berita baik itu dalam masa terdekat.

 “Kita berterima kasih kerana perdana menteri datang ke Pulau Pinang, tetapi sehingga sekarang beliau belum buat pengumuman tentang apa jenis bantuan yang hendak diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

 “Apa yang disebut tentang RM150 juta untuk projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang, ini adalah pengumuman lama iaitu dibuat pada tahun lalu. Beliau sendiri cakap mereka telah luluskan sebelum ini, jadi kita jangan salahkan perdana menteri sebab dia buat pengumuman kitar semula,” katanya.

 Guan Eng berkata, peruntukan yang dimaksudkan perdana menteri adalah projek yang diluluskan pada November 2016.

 “Saya harap media boleh betulkan, jangan nanti di luar ada orang cakap bahawa perdana menteri kitar semula pengumuman lama yang telah diumumkan oleh menteri berkenaan sebelum ini.

 “Sehingga sekarang perdana menteri belum buat sebarang pengumuman. Kita harap beliau boleh buat pengumuman tentang projek tebatan banjir dan yang paling penting sekali ialah bantuan segera yang boleh diberikan kepada mangsa-mangsa secara langsung,” katanya.

Sumber: Sinar Online