DAP, PPBM, PAN Nekad Bolot Semua Kerusi Ditandingi PAS


ALOR SETAR - Tiga parti yang membentuk Pakatan Harapan dilaporkan membawa misi merampas kesemua 21 Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri Selangor yang sebelum ini ditandingi oleh PAS.

Oriental Daily melaporkan selain PKR, difahamkan bahawa DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) di negeri itu nekad mengambil alih semua Dun yang sebelum ini menjadi kubu kuat PAS tersebut.

Lebih menarik, DAP yang mungkin yakin dengan 'ayam tambatan'nya Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini bersama Pakatan Harapan, dikatakan bakal meletakkan calon partinya di kawasan majoriti Melayu.

"DAP akan menurunkan calon-calon Melayunya untuk bertanding di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu ini," lapor akhbar itu.

Difahamkan bahawa Pakatan Harapan memberikan DAP sebanyak enam kerusi iaitu Taman Templer, Paya Jaras, Dusun Tua dan Lembah Jaya, manakala dua lagi kerusi Dun, Meru dan Tanjong Sepat kemungkinan akan bertukar dengan PAN di saat akhir.

Sementara itu, PPBM pula akan dilapor bakal mencabar PAS di lima kerusi lagi melibatkan Dun Sabak Bernam, Batang Kali, Sungai Burung, Sungai Air Tawar dan Hulu Bernam.

"Sementara kawasan-kawasan yang ingin ditandingi Bersatu ialah Sabak Bernam, Batang Kali, Sungai Burung, Sungai Air Tawar dan Hulu Bernam," kata sumber berkenaan.

Manakala PAN pula turut dilaporkan bakal mencabar PAS di lima lagi buah kerusi Dun melibatkan Chempaka, Seri Serdang, Morib, Bangi dan Bukit Antarabangsa.

"Bagi PAN, antara kawasan-kawasan yang menjadi sasaran mereka pula ialah Chempaka, Seri Serdang, Morib, Bangi dan Bukit Antarabangsa," jelas laporan itu.

Namun begitu, tidak pula dijelaskan tentang baki lima lagi kerusi Dun dan dipercayai masih lagi menjadi pertikaian di kalangan parti-parti di dalam Pakatan Harapan, termasuk PKR yang dikatakan masih mengintai peluang membolot kerusi di negeri berkenaan.

Sekiranya desas-desus yang dilapor akhbar berkenaan benar, ia juga sekali gus bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara parti yang membentuk Pakatan Harapan, Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS dan Barisan Nasional (BN).

Walau bagaimanapun, PPBM kini berdepan kemelut krisis dalaman dan kemungkinan diharamkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), ekoran ramai ahli parti itu yang membuat laporan mendakwa kepimpinan PPBM telah melanggar perlembagaan parti tersebut.

RoS dalam satu kenyataannya sebelum ini mengaku ada menerima laporan-laporan berkenaan dan memberi amaran tentang kemungkinan parti baru itu terpaksa dibatalkan pendaftarannya.

Mahathir yang juga merupakan Pengerusi PPBM sebelum ini cuba meletakkan kesalahan terhadap RoS atas kemelut itu, namun gagal menjelaskan tindakan kepimpinan PPBM melanggar pelembagaan parti serpihan tersebut. - Kedahnews.com