PETALING JAYA - Sindiket penipuan melalui panggilan telefon bukan lagi baharu di negara ini, terkini figura ternama dunia perniagaan nyaris terpedaya dengan taktik licik scammer yang cuba memeras ugut dirinya.
Kecewa dan berang dengan panggilan palsu tersebut, Datuk Seri Hasmiza Othman mendesak agar pihak polis mengambil tindakan serius untuk mematahkan sindiket keji itu agar tiada lagi orang awam yang akan menjadi mangsa.
Jutawan kosmetik itu turut meluahkan rasa hairan dengan sistem perbankan di negara ini yang didakwa seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa apabila mangsa diperdaya untuk memindahkan sejumlah besar wang ke akaun scammer terbabit.
"Scammer itu memang licik memerangkap saya untuk mempercayai setiap kata-katanya dan kedengaran begitu profesional.
"Dia turut berpesan agar saya tidak memberitahu kepada sesiapa atau kes yang disabitkan dengan saya akan jadi bertambah besar," katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida mendakwa bahawa scammer terbabit cuba mengaitkan dirinya dengan pinjaman peribadi bernilai RM30,000 yang dianggapnya tidak munasabah.
Vida kesal dikaitkan dengan pinjaman peribadi bernilai RM30,000 dan kesalahan menjual dadah.
"Tidak mungkin saya hanya buat pinjaman sebanyak itu. Baik saya pinjam lebih banyak.
"Jadi, saya terdetik panggilan ini palsu. Tiba-tiba dia kaitkan saya dengan kes penjualan dadah pula. Ia sangat tidak logik," ujarnya marah.
Jelas beliau lagi, scammer tersebut memintanya untuk membuat carian nombor telefon Ibu Pejabat Polis Sabah dan mengarahkan beliau agar menjawab panggilan daripada nombor berkenaan.
Kata Vida, dia hampir mempercayai panggilan tersebut dibuat oleh pihak polis apabila nombor tersebut kemudiannya menghubungi dirinya lalu memaklumkan bahawa dia terlibat dengan kes dadah.
Bagaimanapun, Vida sempat menghubungi peguamnya dalam tempoh dua jam panggilan palsu itu berlangsung.
"Bayangkan saya pun boleh layan perbualan dengan mereka selama itu.
"Mereka sangat licik dan tidak sangka rupa-rupanya di Ipoh sahaja sudah 10 orang yang ditipu," katanya yang trauma untuk menjawab panggilan daripada nombor tidak dikenali.
Sejurus menerima panggilan tersebut, pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu membuat laporan polis pada Isnin malam.
Sumber: Mstar Online