Demi Aqidah, PASAK Tetap Istiqamah Banteras Kesongsangan Syi'ah


ALOR SETAR - Pertubuhan Kebajikan Asatizah Kebangsaan (PASAK) berazam untuk terus istiqamah dalam usaha membanteras kebejatan fahaman songsang Syiah yang kian mengancam aqidah umat Islam di negara ini.

Setiausaha Agung PASAK, Ustaz Tauran Yahya berkata, jihad membasmi fahaman yang difatwakan sesat itu adalah bagi memastikan masyarakat Islam di negara ini tidak terjebak dengan muslihat "taqiyyah" yang menjadi senjata ampuh memesongkan aqidah ummah di seluruh dunia.

Setiausaha Agung PASAK, Ustaz Tauran Yahya
"PASAK akan sentiasa dan terus bergerak memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya Syiah. Syiah itu sendiri tidak boleh dibiarkan terus merebak ke dalam masyarakat kerana ianya boleh merosakkan aqidah, nilai-nilai dan fitrah kehidupan manusia.

"Walaupun dilihat Syiah antara yang kuat mendepani agenda 'pendekatan antara mazhab', PASAK yakin itu sebenarnya adalah salah satu daripada agenda 'taqiyyah' mereka dengan golongan Ahlusunnah wal Jamaah," katanya kepada Kedahnews.com ketika dihubungi di sini, hari ini.

PASAK yang lebih dikenali dengan nama Pertubuhan Anti Syiah Kebangsaan itu sebelum ini giat menganjurkan program dan aktiviti di seluruh negara bagi membuka lebih banyak "senjata rahsia" yang dimomokkan puak Syiah untuk mempengaruhi umat Islam.

Ustaz Tauran berkata, Syi'ah tergamak menghina para sahabat Rasulullah SAW dan isteri baginda selain menyajikan pelbagai rekaan karut-marut yang sama sekali bertentangan dengan aqidah dan logik akal.

"Sekiranya mereka ikhlas, maka mereka tidak akan menghina sahabat-sahabat besar Nabi Muhammad SAW dan juga isteri baginda.

"Namun sebaliknya yang berlaku, mereka bukan sahaja menghina bahkan mencipta mitos masa hadapan dengan konsep-konsep yang tidak masuk akal.

"Justeru itu PASAK, akan terus memperjuangkan kemurnian aqidah Ahlussunnah wal Jamaah dan seterusnya membongkar tipu daya dan kemungkaran mereka," tegas beliau.

Tidak hanya membataskan pergerakan membasmi fahaman songsang itu di dalam negara, Ustaz Tauran menjelaskan bahawa NGO berdaftar itu baru-baru ini telah berkunjung ke negara jiran, Indonesia, untuk berdepan cabaran debat dengan penganut fahaman sesat itu di sana.

"PASAK melalui Lujnah Penyelidikan dan Kajiannya telah mengorak langkah ke Indonesia baru-baru ini bagi menghadiri sesi debat dengan kumpulan Syiah di sana," ujarnya.

Difahamkan PASAK sering memenuhi undangan dari pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan jemaah masjid di seluruh negara untuk menghuraikan kesesatan Syiah serta memberikan pendedahan yang lebih jelas tentang pembohongan pengikutnya.

Meskipun sering menerima pelbagai kecaman, hinaan dan ugutan dari pihak tertentu yang dipercayai penganut Syiah, namun PASAK tetap tegar menegakkan kebenaran dan mendedahkan kebatilan dengan kaedah yang cukup berhemah.

Biarpun dengan sumber dana yang terbatas, PASAK tetap aktif dan sedang merencana ijtima' ketiga pertubuhan itu pada pertengahan tahun depan yang dijangka bakal dihadiri oleh tokoh-tokoh anti-Syiah tersohor di negara ini. - Kedahnews.com