ALOR SETAR - Dipulau kerana gila. Itu keadaan ditanggung sebuah keluarga yang hidup dalam kemiskinan akibat penyakit yang dihidapinya hingga terpaksa menagih simpati daripada sebuah persatuan agama bukan Islam.
Menurut bekas tentera, Izham Aziz, 49, dia tidak mempunyai pendapatan tetap selepas ditamatkan perkhidmatan pada Ogos 1996 akibat masalah mental dihidapinya itu sejak 1994.
Namun begitu, kini dia yang mendakwa semakin pulih daripada penyakit itu masih menjalani rawatan susulan di Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar berkata, dia berusaha menyara keluarga dengan mengerah kudrat melakukan pelbagai kerja.
“Saya melakukan pelbagai kerja seperti menjual besi buruk, menjual kelapa dan terkini saya membuat daun rokok dengan pendapatan RM5 sehari.
“Penderitaan ini saya tak tanggung seorang diri, anak saya juga sukar mendapat kerja apabila majikan mengetahui latar belakang saya. Saya tidak tahu apa salah saya dengan orang kampung sedangkan saya tidak pernah mengamuk atau memukul orang selepas saya diberhentikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sanglang, Ayer Hitam, di sini, semalam.
Tambah Izham lagi, dia kini menerima sumbangan bulanan RM230 sebulan daripada Persatuan Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation sejak lima tahun lalu berikutan tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak.
“Saya tidak kisah dikatakan gila, namun berharap ada pihak membantu mereka sekeluarga dalam mendapatkan bekalan air bersih dan elektrik,” katanya yang dipetik dari MyMetro.
Bercerita lanjut, Izham berkata, dia pernah berkhidmat di bahagian Jurutera Elektrik dan Jentera Tentera Darat selama 10 tahun.
Hasil tinjauan di rumah pusaka keluarga itu mendapati beberapa atap bocor selain tidak dilengkapi kemudahan elektrik dan air.
Namun begitu, Izham bertuah mempunyai isteri, Munirah Aziz,46, yang sanggup susah senang bersamanya sejak berkahwin pada 1989.
Bagi Munirah, dia tidak kisah dihina bersuamikan lelaki yang mempunyai masalah mental, namun sedih tiga anak mereka turut terkena tempias.
Ujarnya, anak sulung mereka Nur Shafiqah, 25, pernah belajar di Politeknik Syed Sirajuddin, Arau Perlis pada 2011, namun terpaksa berhenti separuh jalan apabila tidak menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Saya dan suami tidak mampu untuk membiayai pengajiannya apabila dia balik ke rumah dan minta kerja sebagai pembantu kedai makan sekitar Sanglang, mereka tidak mahu menerimanya kerana suami saya.
“Nasib yang sama turut ditanggung anak kedua kami, Mohd Yusof, 20, yang kini mengambil upah menanam padi,” jelasnya.- Kedahnews.com